Monday, December 5, 2022

Dimanakah ibu muda Amoi dan anaknya Boboi?

Secara Rawak

KUCHING: Dek risau akan nasib yang melanda seorang ibu muda dan anaknya, seorang wanita menghubungi sarawakvoice.com baru-baru ini, bagi membantu mempertaut jalinan yang hilang.

Wanita yang dikenali sebagai Anna Kartini ini berkata, pertemuan mereka berlaku pada 22 Mei 2014, apabila masing-masing dalam perjalanan pulang ke Kuching dari Kuala Lumpur melalui KLIA2.

“Ibu saya (Patimah) telah melihat seorang ibu muda sedang mengendong bayi, serta membawa dua bagasi memasuki perut pesawat.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sekali lagi kami terlihat mereka berdua, lantas ibu saya menghulurkan bantuan.

Ibu saya bercakap dengan ibu muda yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Amoi atau Quek Wen Mui dan anaknya, Boboi atau Quek Chung Ting yang berusia empat bulan.

“Kami dapati Amoi sedang berusaha untuk balik ke Bintulu.

“Beliau sebelum itu ke Kuala Lumpur untuk mengikuti prosedur pembedahan jantung Boboi di Institut Jantung Negara, setelah dikesan mengalami masalah itu sejak lahir.

Menyedari hari sudah hampir malam, kata Kartini, ibunya mempelawa Amoi untuk bermalam di rumah mereka di Petra Jaya.

“Ibu malah membelikan tiket penerbangan kedua-dua beranak ini ke Bintulu untuk membolehkan mereka kembali ke pangkuan keluarga.

“Kami berhubungan selepas itu untuk beberapa bulan sebelum mereka hilang tanpa berita.

Kerana itu, kata Kartini, keluarganya ingin menjalin semula ikatan yang putus itu.

“Kita minta Amoi atau mereka yang mengenalinya dan anaknya agar menghubungi Kartini di talian 01110844160,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru