KUCHING: Seorang warga emas yang sedang berjalan kaki maut selepas dirempuh sebuah motosikal di hadapan Hotel Penview, Jalan Tun Razak dekat sini pagi semalam.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, insiden berlaku sekitar jam 6.45 pagi.

“Penunggang terbabit yang berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss manakala mangsa yang berjalan kaki berusia 75 tahun berasal dari Jalan Selangan Batu.

“Impak rempuhan menyebabkan mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6 petang di Hospital Umum Sarawak.

Bingkok berkata, proses bedah siasat mangsa akan diadakan pada jam 10.00 pagi ini.

“Kita turut mengambil sampel darah mangsa  dan penunggang motosikal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan ujian alkohol dan dadah dalam darah.

Mangsa yang maut katanya, kemudian dikenal pasti sebagai Dayob Samui, 75 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice