Tun M batal hasrat beli Sesco setelah ditawar RM1b

0
4

KUCHING: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pernah melahirkan hasrat untuk membeli syarikat elektrik Sarawak, Sesco pada era pemerintahannya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menjadikan perbadanan itu milikan Kerajaan Persekutuan.

“Saya tahu sebab saya merupakan menteri ketika itu.

“Saya turut berunding dengan Tun Abdul Taib dan kami akhirnya menetapkan harga jualan sebanyak RM1 bilion,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk 8 Cawangan di Kuching pagi tadi.

Akan tetapi katanya, niat itu terbatal apabila Tun Mahathir gagal mendapatkan peruntukan untuk membayar Kerajaan Negeri.

“Sebaliknya pada era Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri, kita pula hendak ambil balik Empangan Bakun agar ia dikembalikan kepada rakyat Sarawak.

“Beliau (Najib) bersetuju dan rundingan berlaku, hingga akhirnya kita memperoleh jumlah yang dipersetujui iaitu RM2.5 bilion.

“Kita berjaya membayar RM2.5 bilion itu tanpa masalah,” katanya lagi.

Sesco kini diletakkan di bawah Sarawak Energy Berhad dan menguasai tiga empangan iaitu Bakun, Batang Ai dan Murum selain loji tenaga arang batu, menjadikannya antara pembekal tenaga utama di rantau ini. – Sarawakvoice