Peranan RELA semakin penting, semua golongan digalak menjadi ahli – Nancy

0
15

BATANG SADONG: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditubuhkan pada 1972, bukan sekadar melaksanakan tugas membantu kelancaran majlis perkahwinan atau keramaian tetapi sudah diperkasakan menjadi benteng ketiga dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hal ini kerana masyarakat awam yang menyertai RELA secara tidak langsung memperkasakan diri dengan ilmu kecemasan, strategi menghulurkan bantuan awal, ilmu keselamatan dan kepimpinan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, semua golongan termasuk belia dan wanita harus menyertai RELA kerana ia juga membantu membentuk keperibadian dan jati diri sebagai seorang insan yang mempunyai semangat untuk berbakti kepada nusa, bangsa serta negara.

“Ambillah iktibar kejadian seperti banjir, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan pelbagai lagi musibah.

“Jika kita mempunyai ilmu kecemasan dan keselamatan, insya-Allah kita akan dapat menghulurkan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat termasuk diri sendiri,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kursus Asas Pengenalan RELA Siri 1/2017 kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Simunjan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, mereka yang terlibat dalam RELA menjadi anggota pasukan sukarelawan beruniform terbesar di negara ini.

Beliau berkata, keanggotaan yang besar itu amat diperlukan untuk berganding bahu bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menghadapi apa jua musibah yang berlaku di negara ini.

Selain itu, katanya, anggota RELA juga boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa terutama dalam menangani jenayah kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk. “Bagi golongan wanita terutama ahli PPWS, ia juga menjadi platform untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini untuk menyumbang tenaga dan kepakaran ketika diperlukan.