Pembinaan Pan Borneo berjalan lancar – Julaihi

0
7

KUCHING: Pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) Sarawak berjalan lancar membabitkan kesemua 11 pakej yang dilancarkan sehingga 25 September lalu. Menteri Muda Jalan Pesisir negeri, Datuk Julaihi Narawi berkata, secara keseluruhannya, kerja-kerja pembinaan projek lebuh raya berkenaan adalah memuaskan ketika ini.

Malah, ujarnya, kesemua pakej kerja yang dilaksanakan telah mendahului jadual sasaran kecuali dua pakej yang mengalami sedikit kelewatan. “Pakej yang mengalami kelewatan ialah jajaran Serian ke Simpang Pantu yang mengalami kelewatan 2.25 peratus daripada jadual kerja berikutan kekurangan tenaga kerja dan mesin,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan Chiew Chiu Sing (DAP-Tanjong Batu) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini baru-baru ini.

Chiu Sing bertanyakan tentang perkembangaan terkini pembinaan Projek Pan Borneo Sarawak. Mengulas lanjut, beliau berkata, satu lagi pakej yang mengalami kelewetan ialah jajaran Batang Skrang ke Sungai Awik iaitu 0.5 peratus terlewat mengikut jadual disebabkan masalah pemasangan kerja cerucuk jambatan.

Mengenai projek permulaan di jajaran Nyabau ke Simpang Bakun yang sepatutnya siap pada 29 Oktober lalu, beliau menjelaskan, projek itu telah diberi dua kali masa lanjutan berikutan halangan struktur.

“Penilaian semula mensasarkan tarikh siap bagi jajaran ini ialah 20 Ogos tahun depan dan kini kerja pembinaannya berjalan mengikut jadual ditetapkan,” katanya. Menurut Julaihi, mengikut Perjanjian Rakan Projek Pelaksana (PDP), keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak akan disiapkan pada 30 Jun 2021.