Pandikar tidak layak sebagai Speaker Dewan Rakyat

Kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai status Perjanjian Malaysia 1963 amat mengejutkan kerana ia bertentangan dengan pandangan ramai, termasuk pakar undang-undang.

Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya ia telah membantu ramai pihak untuk mengetahui akan cara pemikiran Pandikar.

Sebelum ini, Pandikar sering membuat keputusan-keputusan yang tidak masuk akal dan pelik ketika menjalankan tanggungjawabnya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Akhirnya kita sudah tahu dengan jelas bahawa sebenarnya Pandikar tidak layak untuk dibanggakan oleh rakyat Pulau Borneo sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pemikiran yang jauh terpesong ini menunjukkan Pandikar patut diganti dengan orang lain yang lebih layak dan mahir dalam undang-undang.

Menyentuh akan cabaran beliau untuk berdebat dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia adalah satu cabaran yang bodoh daripada seorang yang memegang jawatan Speaker Dewan Rakyat.

Sekiranya status MA63 dipertikaikan oleh Pandikar, ia bukannya melalui perdebatan untuk mengetahui sama ada ia masih relevan ataupun tidak.

Cara pemikiran seperti ini amat memalukan rakyat Sarawak yang turut berkongsi Pulau Borneo bersama-sama rakyat Sabah!

Diharapkan Abang Johari Tun Openg tidak akan ambil peduli karenah seorang manusia yang tidak layak menjadi Speaker Dewan Rakyat!