Friday, December 2, 2022

Mayat wanita dalam guni ditemui terapung di Sungai Miri

Secara Rawak

MIRI: Seorang nelayan terkejut besar apabila objek besar ganjil di dalam bungkusan guni yang diperhatinya terapung di Sungai Miri merupakan mayat seorang wanita.

Wanita yang masih berseluar panjang dan berbaju dalam hitam itu ditemui dengan bahagian kepala hingga paras dada berada di dalam bungkusan guni.

Pihak polis kemudian dipanggil dan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, mayat tersebut dibawa ke darat.

“Tiada pengenalan diri ditemui yang boleh mengesahkan identiti wanita tersebut,” kata pihak polis yang bertugas.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya dimaklumkan tentang insiden tersebut sekitar jam 8.06 pagi dan sepasukan lapan anggota, sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan utiliti dan bot penyelamat diatur gerak pantas ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng.

“Ketika pasukan tiba, mayat yang ditemui terapung berhampiran Kampung Pulau Miri, Sungai Miri itu telah ditunda oleh nelayan terbabit ke tebing sungai.

“Anggota kita kemudian bertindak menaikkan mayat tersebut untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Pihak polis masih melakukan siasatan rapi dan mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru