MA63: Rakyat S’wak tidak biarkan Ketua Menteri berseorangan

TIMBALAN Ketua Penerangan Parti PBB Datuk Peter Minos menyelar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa beliau tiada hak mempersoal aspirasi Sarawak menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Minos menegaskan Pandikar layak berdebat dengan rakan menteri dari Sabah sahaja.

Bagi beliau apabila Pandikar mencabar Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg, maka ramai rakyat Sarawak akan membalas balik tindakannya.

Minos berkata rakyat Sarawak tidak akan meninggalkan Ketua Menteri berseorangan, sebaliknya berdiri teguh di belakang beliau sambil meminta Pandikar berundur dan tidak campur tangan urusan Sarawak.

Sementara, di Limbang, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Paulus Palu Gumbang menyifatkan Pandikar bersifat sentimen dan emosi.

Paulus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau berkata tindakan Pandikar mencabar Abang Johari berdebat berkaitan isu MA63, jelas menafikan pandangan orang lain.

Menurut beliau kenyataan Pandikar menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak.

Sila Debat Dengan Lina Soo — Karim

Manakala, bagi Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mencabar Pandikar agar berdebat dengan Presiden STAR Lina Soo sahaja berkaitan MA63.  

Karim menyifatkan Pandikar tidak layak berdebat dengan Abang Johari.

Dengan mencabar Abang Johari berdebar, Karim  menganggap Pandikar hanya mencari publisiti murahan.

Karim menganggap pandangan Pandikar jauh tersisih daripada pandangan majoriti rakyat Sarawak dan Sabah.

Pandikar mencabar mana-mana pihak yang mahu berdebat secara terbuka berhubung isu penubuhan Malaysia khususnya membabitkan hak Sarawak dan Sabah semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku “Berpisah Tiada” di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemuda PRS Duka Cita Dengan Pandikar

Dalam pada itu, Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan pada sidang media di Ibu Pejabat PRS menganggap cabaran berdebat Pandikar berkaitan MA63 berkemungkinan mempunyai agenda tersirat dalam kerjaya hidup politiknya.

Snowdan mengakui exco Pemuda PRS Sarawak tidak senang dan berduka cita dengan kenyataan Pandikar.

Snowdan berkata, rakyat Sarawak menyokong sepenuhnya tindakan Ketua Menteri menerajui MA63 dan yakin Ketua Menteri membuat kajian terlebih dahulu termasuk sanggup menghantar pasukan undang-undang khas ke London mendapatkan maklumat MA63.

Snowdan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan jawatankuasa khas tertinggi dengan tujuan utamanha melakukan perbincangan berkaitan perlembagaan negara yang mempunyai kaitan dengan MA63.

Snowdan meminta Pandikar Amin jangan masuk campur hak rakyat Sarawak.

Ekoran Abang Johari menolak berdebat dengan Pandikar, beliau menjawab, “sekiranya dia tidak bersetuju dengan saya 10 kali, saya tidak bersetuju dengannya 100 kali.”

“Kalau dia mengatakan pandangan saya tidak penting, saya juga boleh mengatakan bahawa pandangannya tidak masuk akal kepada saya,” kata Pandikar sehingga membawa kepada respons dan komen lanjut ahli politik di negeri ini. – Sarawakvoice