Thursday, September 29, 2022

Kita orang Sarawak ada maruah, kita ada cara untuk berunding — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Rundingan penurunan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri kini memasuki fasa baharu, dengan tumpuan diberikan kepadanya hak Sarawak dalam perlembagaan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, beliau dan arwah Tan Sri Adenan Satem ketika masih hidup telah bersepakat dengan pendirian untuk menuntut kembali semua kuasa Sarawak yang sebelum ini terhakis, baik secara sengaja ataupun tidak.

“Ia hak kita. Maka kita rundingkan. Untuk mengukuhkan hak ini, kita hantar rombongan ke London bukan sahaja untuk menyemak Perjanjian Malaysia, tetapi juga hak-hak kita yang diuruskan oleh Kerajaan Kolonial British dahulu.

“Kerana Kerajaan Kolonial, sebelum Sarawak merdeka telah memindahkan semua fail dan dokumen ke London,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Tritahunan Cawangan PBB Kuching (N1 hingga N8) di Pusat Konvensyen Penview dekat sini pagi tadi.

Abang Johari merupakan Ketua Cawangan PBB untuk N8 Satok.

Jelasnya lagi, ketika Gabenor British yang terakhir, Sir Alexander Waddel meninggalkan Kuching, semua urusan surat-menyurat mengenai pentadbiran negeri ini di Sekretariat telah dibawa bersama-sama.

“Apabila kita semak, banyak keputusan Kerajaan British memihak kepada hak-hak yang harus diberikan kepada orang Sarawak.

“Selepas 50 tahun, dokumen-dokumen ini tidak sulit lagi … boleh dibuka. Dahulu rahsia besar dan sulit.

Kerana itu katanya, rombongan Kerajaan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Project, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dihantar ke London.

“Hasil semakan itu kita menemui bahawa Sarawak memiliki Rang Undang-undang Perlombongan yang masih lagi sah dan Gabenor British ketika itu memberi hak kepada Sarawak Oil Limited untuk menerokai minyak dan hasil bumi di perairan Sarawak, dalam lingkungan 12 batu nautika dan kontrak telah dimeterai dengan syarikat Shell, ketika itu.

“Takkanlah masa Kolonial boleh, kita yang telah merdeka ini tidak boleh? Bukankah pelik.

Kerana itu katanya, Sarawak akan mengemukan perundingan berpandukan kepada undang-undang sedia ada.

“Kita berterima kasih kepada Datuk Seri Najib (Razak) kerana mahu berunding.

Malah katanya, Perdana Menteri itu telah beberapa kali menegaskan bahawa apa yang milik Sarawak, harus kekal milik Sarawak dan beliau akan beri balik.

“Terpulang kepada seorang pemimpin Sabah itu, kalau tidak mahu biarkan…tetapi Sarawak ada hak untuk berunding.

“Kita orang Sarawak ada maruah. Kita ada cara untuk berunding dengan orang,” tegasnya lagi.

Kerana itu kata Abang Johari, beliau tidak melayan cabaran pemimpin terbabit, yang umum ketahui sebagai Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk berdebat.

“Itu cara budak kecil,” tambahnya lagi sinis. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru