Saturday, December 3, 2022

Jangan tutup IPG Rajang, kampus tunggal tawar pengajian bahasa Iban

Secara Rawak

KUCHING: Institut Perguruan Guru (IPG) Rajang perlu dikecualikan daripada ditutup memandangkan ia merupakan kampus tunggal di Malaysia yang menawarkan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Iban.

Justeru, demi membekalkan guru mencukupi dan berkemampuan mengajar bahasa Iban di sekolah di negeri ini, Jabatan Pendidikan Sarawak diminta mengecualikan kampus berkenaan daripada ditutup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sekiranya kampus yang menawarkan pengajian bahasa Iban sejak Januari 2013 itu ditutup, tindakan tersebut akan membantutkan usaha melahirkan guru mahir mengajar subjek bahasa Iban di sekolah di negeri ini

“Selain usaha melahirkan guru mengajar bahasa Iban terbantut, tindakan menutup kampus ini juga menghalang pencapaian sasaran 90 peratus guru di negeri ini terdiri daripada anak tempatan menjelang 2018,” katanya berucap dalam sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 sebelum ini, mencadangkan agar kampus IPG diubah suai menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional termasuk IPG Rajang.

Mengulas lanjut, Kuong Hiing berkata, kampus yang beroperasi sejak 1967 itu telah menjadi ikon bagi Meradong dan banyak berjasa apabila melatih guru dari Sibu, Kapit dan Mukah.

Selain itu, katanya, kampus yang mempunyai prasarana lengkap dan kakitangan berkemahiran itu turut digunakan untuk melatih kakitangan awam dari pelbagai jabatan kerajaan di kawasan tengah Sarawak.

“Keputusan menutup IPG Rajang banyak mendatangkan masalah dan keburukan pada masa akan datang,” ujarnya. – eRakyat

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru