MARANG: Pas berpatah arang dengan Pakatan Harapan.
Sekali lagi parti Islam itu menegaskan pendiriannya tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-14 yang dijangka diadakan selepas Tahun Baharu Cina tahun depan.
Bakal berdepan dengan Barisan Nasional melalui blok ketiga Gagasan Sejahtera, Pas, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan bekerjasama dengan parti-parti kecil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diyakini bakal membawa perubahan besar dalam politik negara.
“Kita ambil pendirian dan pendekatan baharu dengan blok ketiga Gagasan Sejahtera. Kita yakin dengan pendekatan kita ini, Insya-Allah akan membawa perubahan besar dalam politik negara,” ujarnya.

Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Sebenarnya kita berpakat juga untuk menghadapi PRU-14, namun bukan dengan DAP. Kita tidak berpakat dengan PKR, PAN dan Bersatu. Kita hanya berpakat melalui blok ketiga, iaitu Gagasan Sejahtera,” katanya, sambil menambah parti berkenaan menghalang cita-cita dan perjuangannya untuk menegakkan Islam.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana di Pekan Wakaf Tapai anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, Marang semalam.
Katanya meskipun bekerjasama dengan parti kecil jika kerjasama kukuh, dengan izin Allah SWT, beliau percaya kerjasama berkenaan boleh membuat kejutan dalam PRU-14 nanti. – Sarawakvoice