Demi “survival politik”, Pandikar Amin keluar kenyataan bongkak dan sombong

Rakyat Sarawak tidak cuai dan bodoh kaji MA63

Amat mengejutkan dan pelik pendirian serta kenyataan Pandikar sebagai anak jati Sabah yang menganggap Perjanjian Malaysiab1963 (MA63) tidak relevan.

Pandikar begitu yakin mengatakan bahawa hak negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah terhakis sejak penubuhan Malaysia.

Secara tidak langsung Pandikar juga beranggapan bahawa kedudukan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri dalam Malaysia adalah sama rata semasa penubuhan Malaysia dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Saya anggap Pandikar pemimpin yang sombong sehingga secara terbuka mencabar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg untuk berdebat tentang MA63.

Biar rakyat Sabah menilai sendiri kedudukan Pandikar sama ada mereka masih memerlukan pemimpin seperti ini di pihak mereka.

Saya yakin Pandikar gagal memahami sentimen serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak — yang sekadar mahu dilayani secara adil mengikut terma dan semangat MA63 serta peruntukan Perlembagaan.

Mana-mana peruntukan Perlembagaan yang telah diubah atau sebarang cubaan untuk mengubah peruntukan Perlembagaan yang akan menggugat atau menghakis kepentingan serta keistimewaan negeri Sabah atau Sarawak haruslah diperbetul atau dibantah.

Saya berani dan yakin mengatakan bahawa seluruh rakyat Sarawak membantah dan tersinggung dengan kenyataan Pandikar.

Sikap bongkak beliau yang tidak menghormati kedudukan Datuk Patinggi Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak juga mengundang kebencian rakyat Sarawak terhadap beliau.

Pandikar tidak sepatutnya begitu cepat untuk membuat andaian bahawa kita di Sarawak ini bodoh dan cuai dalam kajian serta pengetahuan kita tentang MA63.

Kesimpulan yang dapat saya buat ialah Pandikar terpaksa membuat ‘kenyataan’ sedemikian semata-mata untuk mempastikan survival politik beliau.

Dan pendirian beliau juga saya anggap sebagai “Politik tidak Bermaruah”. (Politically immoral and insecure)

*,Abdullah Haji Saidol merupakan Menteri Muda Hubungan Korporat dan
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak

Gambar fail