Debat Perjanjian Malaysia 1963: Ada apa dengan Pandikar Amin Mulia?

Dr Awang Azman Awang Pawi

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia baru-baru ini mengatakan Sabah dan Sarawak tidak pernah menjadi dua negara berasingan sebaliknya hanya sekadar jajahan British.  Pandikar turut berpendapat Sabah tidak pernah diturun taraf menjadi hanya salah satu negeri di Malaysia.  Beliau berpendapat sentimen kewilayahan sentiasa dimainkan  untuk  mendakwa bahawa hak-hak Sabah tidak ditunaikan sepenuhnya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dari satu aspek,  beliau menyatakan Perjanjian Malaysia ‘tidak penting’, dan dikatakan tiada dalil mengatakan Sabah dan Sarawak itu ‘istimewa’  malah ia setaraf dengan negeri-negeri lain  di Malaysia. Beliau juga dipetik sebagai berkata, “Sebagai orang Sabah, saya tidak pernah rasa hak saya terhakis atau dicabuli, Menurut beliau semasa membaca laporan suruhanjaya siasatan membincangkan laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, iaitu Inter-Governmental Committee (IGC), beliau “tidak terjumpa dalil mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Malaya. Tidak ada.”

Pandikar berkata tiada kes mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu apabila semua negeri sama taraf di Malaysia.“Sama sekali tidak jika kamu faham konsep Persekutuan. Persekutuan bererti semua negeri mesti sama taraf, jadi bagaimana kamu boleh kata Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu sedangkan selepas Malaysia terbentuk pada 1963, Tanah Melayu tidak lagi wujud…“Jika tidak, di mana mereka (kita) sekarang ini? Kita mungkin jadi salah satu wilayah Filipina atau Indonesia”.  

Pandikar juga menyatakan  ramai mempunyai interpretasi  sendiri mengenai laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 iaitu Inter-Governmental Committee (IGC) dan ini  ini membawa ketidakfahaman  konteks khususnya dalam minda anak muda yang tersebar dalam media sosial.

Politik Pandikar

Ada juga melihat sikap Pandikar dilihat sebagai hayat politik untuk bertanding dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen di Sabah pada PRU tahun depan. Pandikar telah melepaskan jawatan ketua bahagian UMNO Kota Marudu sejak tahun 2008. Ada yang melihat untuk menumpukan tugas Speaker sepenuh masa dan ada yang menyatakan tindakan politik tersebut sesuai sentimen  ketika September 2008 kononnya lebih 30 orang ahli parlimen dari Sabah mahu menyeberang kepada Pakatan Pakatan.

Politik Pandikar  berwarna-warni  dan ketidaktententuan ini pernah menjadi ahli USNO, bertanding melawan BN tetapi tewas di peringkat parlimen, pernah menjadi speaker DUN Sabah 1986-1988, dan menjadi senator, menteri di pejabat perdana menteri era Tun Dr Mahathir Mohamad. Pernah juga menjadi presiden parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) hasil perpecahan Parti Bersatu Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1989. Namun Pandikar bubarkan AKAR untuk menyertai UMNO.

Reaksi Balas

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Joahari Tun Openg  menolak pandangan dan kenyataan Pandikar Amin berhubung Pejanjian Malaysia 1963 yang Pandikar anggap sebagai tidak penting  dan Sabah dan Sarawak setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia selepas pembentukan Malaysia.

Hakikatnya, tanpa Sabah dan Sarawak  tidak akan wujud Malaysia seperti hari ini.  Di Sabah misalnya, ada jawatan Yang Di-Pertuan Negara, di Sarawak penggunaan  dan jawatan Gabenor Sarawak sudah lama wujud. Namun di Melaka misalnya, hanya baru-baru ini  membuat usul di Dewan Undangan Negeri  meluluskan penggunaan istilah Gabenor Melaka pada tahun 2017.  Perkara ini menunjukkan  perbezaan di Sabah dan Sarawak dan negeri di Semenanjung Malaysia.

Suara Putrajaya?

Ada apa sebenarnya dengan Pandikar? Dari satu segi, ada melihat usaha Pandikar sebagai  ‘mewakili’ Putrajaya  dan kedudukan jawatan Speaker ditafsirkan sebagai usaha meneutralkan pemikiran, tafsiran, persepsi penduduk majoriti Sabah dan Sarawak  tentang  gerakan dalam menuntut hak yang sesuai dengan pengisian  dan pematuhan penuh Perjanjian Malaysia 1963.   

Sebagai Speaker Dewan Rakyat beliau mempunyai autoriti besar dan setiap kata-kata yang dikeluarkan beliau tidak dapat dipisahkan kedudukannya sebagai seorang Speaker. Barmakna, setiap kata yang diungkapkannya mempunyai maksud tersirat dan tersurat daripada aspek wacana politik nasional, politik Putrajaya dan  politik federalisme.

Antara Undang-undang dan Sejarah

Penggubalan perlembagaan 1976 yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 mempunyai tafsiran undang-undang tersendiri.  Antara tafsiran undang-undang dan sejarah, kedua-dua perlu dibezakan kerana terdapat realiti sejarah tidak semestinya terpancar dalam undang-undang yang termaktub.  

Untuk mencari jalur keseimbangan  realiti sejarah dan undang-undang perlu ada persetujuan bersama.  Namun, di pihak Pakatan Harapan  misalnya, berpendirian hak kerajaan negeri tidak pernah terhakis meskipun  wujudnya penggubalan perlembagaan  1976 yang memberikan implikasi  terhadap status negeri Sabah dan Sarawak.

Apa pula pendirian ahli parlimen Sarawak dalam isu seumpama ini? Adakah mereka mempunyai suara yang sama. Sentimen realiti politik perlu difahami akan tidak terperangkap dalam hanya satu jalur kefahaman. Keterperangkapan di dalam tempurung makna akan menjejaskan pembinaan sebuah negara bangsa dan bangsa idaman.  

Justeru, terdapat keperluan ahli parlimen Sarawak  untuk membuat satu perhimpunan atau seminar bagi menjelaskan dan membuat pendirian akan hal ini agar Kerajaan Negeri Sarawak tahu pendirian sebenar ahli parlimen dalam konteks isu autonomi, hak negeri, isu royalti minyak dan sebagainya.  

Hal ini penting agar wakil rakyat Sarawak tidak bercanggah pendapat  antara peringkat DUN dengan Parlimen. – Sarawakvoice