KOTA KINABALU: Pas Sabah melahirkan kebimbangan atas penemuan wang tunai jutaan ringgit di Sabah.
Menurut Pesuruhjaya Sabah, Mohd Aminuddin Aling, Pas Sabah meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi, katanya dalam satu kenyataan.
“Apa pun yang berlaku, sama ada sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia ataupun aktiviti penggubahan wang haram, keduanya tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
“Adakah Sabah menjadi pusat penggubahan wang haram?,” tanya beliau.

Sebelum ini penemuan puluhan juta ringgit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah.
Baru-baru ini Jabatan Imigresen pula menemui lebih dari RM13 juta dalam satu operasi yang dikaitkan dengan aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia.
Katanya, kes-kes seumpama ini memberikan imej yang tidak baik kepada negeri Sabah seolah-olah Sabah menjadi pusat bagi pelbagai aktiviti yang tidak sihat dalam masyarakat.
“Sekiranya benar penemuan lebih RM13 juta baru-baru ini disebabkan oleh aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia, Pas Sabah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan drastik seperti menguatkuasakan undang-undang, menutup semua pusat hiburan, menutup rumah-rumah urut dan sebagainya,” ujarnya. – Sarawakvoice