Saturday, December 3, 2022

Skandal kebocoran data terbesar: Pengguna tunggu jawapan SKMM

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil percaya ramai pengguna perkhidmatan telekomunikasi sedang menantikan jawapan menyeluruh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan skandal kebocoran data terbesar dalam sejarah Malaysia.

Untuk itu, beliau mengemukakan tujuh soalan  kepada SKMM.

“Saya berharap dengan jawapan SKMM kepada soalan-soalan ini, rakyat Malaysia akan mula memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam skandal ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak  enggan memberi komen berkenaan sebuah laporan media yang berkata skandal kebocoran lebih 46 juta data peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi melibatkan sistem Public Cellular Blocking Service (PCBS).

Laporan tersebut turut menamakan Nuemera Sdn Bhd sebagai syarikat swasta yang diberi kontrak pada 2014 untuk mengendalikan sistem PCBS.

“Saya faham mengapa Datuk Seri Salleh mungkin enggan menjawab, memandangkan lantikan Nuemera Sdn Bhd dibuat sebelum beliau menjadi menteri,” katanya lagi.

Walaupun begitu, ujar Fahmi, Salleh seharusnya lebih bersikap proaktif dan terbuka dengan mengarahkan SKMM untuk mengeluarkan kenyataan serta senarai soalan-soalan lazim (FAQ) memandangkan skandal kebocoran data berkenaan memberi kesan kepada hampir kesemua pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.

Oleh itu,  beliau  mencadangkan tujuh soalan pertama untuk dijawab SKMM yang boleh diterbitkan sebagai FAQ, antaranya ialah tindakan yang telah dilakukan SKMM terhadap Nuemera Sdn Bhd sejak kebocoran berlaku sehingga laporan berita Lowyat.net pada 19 Oktober lalu.

Selain itu, beliau ingin tahu, memandangkan kebocoran data ini dipercayai berlaku pada 2014, iaitu pada tahun Nuemera Sdn Bhd dilantik mengendalikan PCBS, bilakah pihak SKMM sendiri mengenal pasti berlakunya kebocoran data tersebut?

“Atau adakah SKMM hanya mengetahui tentang kebocoran data ini dari laporan berita Lowyat.net pada 19 Oktober lalu?,” tanya Fahmi.

Beliau juga ingin tahu pampasan yang akan diberi pihak SKMM, Nuemera Sdn Bhd, serta syarikat-syarikat telekomunikasi kepada semua pengguna yang telah terkesan akibat skandal kebocoran data terbabit. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru