Saturday, December 3, 2022

Sarawak mahu adaptasi kaedah perantisan dual latihan TVET Jerman — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak berminat untuk mengadaptasi kaedah negara Jerman dalam melaksanakan sistem perantisan Latihan dan Pendidikan Vokasional Teknikal (TVET).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk menjayakan usaha ini, kerajaan memerlukan kerjasama pihak industri bagi menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar TVET ini.

“Di Jerman, pelatih dilatih tiga hari dalam persekitaran industri dan dua hari lagi di pusat latihan, selama tiga tahun.

“Yang menarik, pembiayaan daripada pihak kerajaan dalam membangunkan modal insan adalah pada tahap yang minimum, dengan pelatih turut menerima elaun bulanan.

Peranan industri katanya, amat besar dalam membangunkan modal insan ini.

“Inilah harapan saya agar ‘sistem dual latihan”  ini dapat dilaksanakan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-20 Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) semalam.

Tegasnya, dengan adanya inisiatif seperti program Revolusi Industri 4.0 dan Ekonomi Digital, serta komitmen pembangunan infrastruktur luar bandar, perumahan mampu milik, aliran transit ringan (LRT) serta ledakan sektor industri seperti pertanian, pendidikan, pelancongan dan petrokimia, beliau percaya masa depan lepasan TVET di negeri ini begitu cerah.

Seramai 896 pelajar telah menerima sijil mereka pada hari ini setelah berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang pengajian.

Sejak penubuhannya, PPKS telah melahirkan seramai 50 ribu graduan yang berkebolehan, dengan 82 peratus daripadanya telah mendapat pekerjaan setelah enam bulan menamatkan pengajian. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru