Ian Gillan ke Sarawak musim depan?

0
4

KUCHING: Usai Liga Malaysia yang lalu, Pengiran Bala telah diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan Bujang Senang pada musim depan.

Biar bermain di Liga Perdana, mahupun Liga Super (masih menunggu keputusan muktamad Persatuan Bola Sepak Malaysia), mereka pada awalnya hanya berminat untuk menggunakan sepenuhnya khidmat anak tempatan.

Sarawak bukan sahaja menggugurkan semua pemain importnya, malah tidak lagi menandatangani khidmat pemain regular bukan jati Sarawak, termasuk penjaga gawang Mohd Shahril Sa’ari, biarpun pemain tersebut telah mengikat perkahwinan dengan gadis Bumi Kenyalang pada tahun ini.

Ketika latihan sudah pun bermula tanpa tiga pemain muda utamanya yang mencuba nasib dengan kelab FAM, PJ Rangers FC, Sarawak didatangi isu baharu.

Kehadiran bekas pengendali taktikal Kedah, Ian Gillan, 52 tahun ke Stadium Negeri sejak seminggu lalu mencetus persoalan.

Tiada jawapan daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak mengenai perkara ini ketika ini, namun kehadiran Gillan diteropongi peminat. Laman sosial dalam kalangan peminat bola sepak Sarawak sudah mula riuh.

Gillan, 52 yang lahir di Aberdeen, Scotland pernah mengendalikan kelab Australia, Perth Glory selain menyelaras taktikal Kedah, sebelum ini.

Justeru tidak hairanlah para peminat bola sepak negeri tertanya-tanya akan motif  pengendali Ilocos United ini berada di Stadium Negeri.

Adakah beliau dilantik sebagai Pengarah Taktikal baharu Sarawak, atau sekadar membantu Pengiran Bala mencipta pasukan yang mata pada musim depan?

Atau mungkin menjadi pengendali baharu Sarawak musim depan memandangkan kontrak baharu  masih belum lagi ditandatangani secara rasmi oleh pemain dan jurulatih.

Untuk rekod, Gillan merupakan pemegang diploma Konfederasi Bola Sepak Asia manakala Penolong Ketua Jurulatih Sarawak ketika, Veloo a/l Sinnathamby mempunyai ijazah sarjana dalam kejurulatihan bola sepak. – Sarawakvoice