SERIAN: Seorang wanita Indonesia berusia 42 tahun,  Marni Nasir yang bekerja di ladang kelapa sawit di sini kini diletakkan dalam proses pemantauan, setelah ujian Histopathologic yang dijalankan di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh mendapati anjing yang menyerang dan menggigitnya positif penyakit Rabies.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Ismail Mahedin dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, anjing tersebut merupakan anjing peliharaan milik seorang pekerja ladang di Ladang Masranti, Telagus, dekat sini, tempat mangsa bekerja.

“Mangsa telah digigit pada 19 Oktober lalu dan mendapat rawatan pada jam 10.25 malam hari yang sama.

“Beliau juga mendapat rawatan susulan pada penghujung Oktober lalu.

Susulan keputusan itu, kata Ismail, ladang tersebut telah diwartakan sebagai kawasan wabak Rabies yang ke-27 di negeri ini.

Ketika ini jelasnya, bilangan keputusan sampel yang diterima untuk virus Rabies adalah sebanyak 282 daripada 288 sampel yang dihantar ke VRI.

“Sampel tersebut adalah terdiri daripada 257 sampel anjing, 24 sampel kucing dan 1 sampel kelawar.

“Daripada 282 keputusan kes, 56 atau 19.9 peratus yang terdiri daripada 50 sampel anjing dan 6 sampel kucing telah disahkan positif virus Rabies.

Secara kumulatif, jelas Ismail, bilangan haiwan kesayangan yang telah divaksinasi anti-Rabies setakat ini masih kekal sebanyak 41,989 ekor iaitu 34,040 ekor anjing, 7,904 ekor kucing dan 45 haiwan lain.

“Sebanyak 47,137 survelan aktif dan 1,993 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak Rabies telah dilakukan di kawasan Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan melaporkan, bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 1 April lalu hingga ke hari ini adalah berjumlah 4,927 kes.

“Secara kumulatif juga, seramai 1,833 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies,” katanya lagi. – Sarawakvoice