Monday, November 28, 2022

Abang Jo tidak setuju kenyataan Pandikar, anggap Speaker Dewan Rakyat itu silap

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi menegaskan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang mengatakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak penting.

Menurutnya, pandangannya berhubung perkara itu adalah berbeza daripada pandangan Pandikar.

“Saya berpendapat anda tidak boleh menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 tidak penting.

“Ia sangat penting kerana mengandungi hak-hak kewilayahan Sabah,  arawak dan Semenanjung Malaysia, seterusnya menjadi asas kepada perjanjian tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Lanjutan Sarawak (iCats) di Pusat Konvensyen Borneo dekat sini.

Katanya, adalah satu kesilapan apabila Pandikar berpedapat demikian.
Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini menghantar sepasukan pengamal undang-undang yang diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali untuk mengkaji tentang MA63.

Difahamkan mereka yang turut dibantu oleh pegawai kanan Jabatan Arkib Negara telah menemui beberapa perkara perjanjian yang sebelum ini terselindung daripada pengetahuan umum, termasuk hak-hak wilayah, laut dan pelantar benua.
Pandikar ketika melancarkan buku “Berpisah Tiada” memberitahu bahawa tiada dalil yang mengatakan Sabah dan Sarawak setara dan setaraf Tanah Melayu sebelum perjanjian ditandatangani, serta menyatakan rujukan semula kepada Perjanjian Malaysia 1963 sebagai tidak penting.

Beliau kemudian mengeluarkan kenyataan untuk menerima cabaran sesiapa sahaja yang ingin berdebat secara terbuka dengannya mengenai isu ini.

Biarpun menyasarkan kepada aktivis Sabah Sarawak Keluar Malaysia, Doris Jones, cabaran Pandikar disambut oleh aktivis Sarawak, Lina Soo, semalam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru