Tuesday, June 28, 2022

Banjir: Yang tinggal di kawasan rendah perlu sedia pindah segera

Secara Rawak

KOTA BHARU: Semua pihak perlu memastikan keselamatan keluarga masing-masing khasnya anak-anak kecil supaya tidak leka bermain air termasuklah memaklumkan dalam kadar segera kepada pihak keselamatan jika berlaku apa-apa juga kemalangan yang tidak diingini.

Menurut Menteri Besar  Datuk  Ahmad Yakob, dalam situasi hujan yang masih tidak menentu dan air didapati naik dengan cepat di beberapa lokasi, beliau berharap  mereka yang tinggal di kawasan rendah hendaklah membuat persiapan berpindah seberapa segera sebelum menjelang waktu malam.

“Hal ini bagi memudahkan pihak yang berwajib mengendalikan urusan di pusat pemindahan selain keselamatan nyawa mestilah diutamakan. Seluruh rakyat juga boleh merujuk kepada info semasa banjir Kerajaan Negeri bagi membuat persediaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, semua Jabatan Negeri dan Persekutuan hendaklah berada dalam keadaan siap sedia dan turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua lokasi pemindahan.

“Saya turut menyeru semua pihak kepimpinan dan rakyat khususnya pihak yang berwajib agar menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid dan surau di seluruh Kelantan bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat negeri ini daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi,” katanya lagi.

“Semoga situasi banjir di negeri ini tidak berpanjangan dan mereka yang berada di pusat pemindahan dapat pulang ke rumah masing-masing dengan selamat,” katanya. – Sarawakvoice

Gambar fail

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru