Tuesday, October 4, 2022

80 kaki judi termasuk 19 wanita dijaring polis Sarawak minggu lalu — Dev Kumar

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak mencekup 80 kaki judi sepanjang minggu lalu dalam kempen berterusan memerangi aktiviti perjudian di negeri ini.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, tangkapan tersebut dilakukan menerusi 51 serbuan yang dilakukan bermula 20 hingga 26 November lalu.

“Daripada jumlah ini, 12 serbuan dilakukan oleh pasukan siasatan jenayah ibu pejabat polis kontijen di Bintulu dan Kuching, manakala lapan lagi dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Sibu.

“Sebanyak lima serbuan pula dilakukan oleh IPD Kuching dan Bintulu manakala empat serbuan dijayakan oleh IPD Padawan.

Sembilan IPD lain iaitu Kota Samarahan, Serian, Sarikei, Betong, Limbang, Bau, Marudi, Julau dan Lubok Antu pula masing-masing melaksanakan satu serbuan, katanya.

Menurut Dev, operasi khas untuk membanteras judi dalam talian telah dijalankan di empat daerah, dengan fokus kepada kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan khidmat tambah nilai judi atas talian.

“Sebanyak 10 serbuan dilakukan di Bintulu, sembilan daripadanya oleh tiga pasukan daripada ibu pejabat kontijen, empat di Miri, empat di Sibu dan satu di Kuching.

“Sebanyak 19 serbuan lagi berjaya mencekup 36 operator judi, yang membawa kepada penyitaan 33 telefon bimbit dan tablet serta wang tunai berjumlah RM8,704.

“Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berkaitan jualan loteri 4D haram pula, sepanjang minggu lalu, 30 serbuan telah dilakukan di 13 daerah di negeri ini, yang membawa kepada penangkapan 35 individu dan penyitaan tunai berjumlah RM10,800.

“Antara yang dirampas termasuklah telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

Kata Dev lagi, dua serbuan lain yang dilakukan di Sibu dan Marudi turut menjaring sembilan individu kerana aktiviti judi holo.

“Antara yang dirampas daripada kedua-dua serbuan tersebut ialah peralatan judi dan wang tunai bernilai RM888.

Daripada 80 orang yang ditangkap katanya, 61 adalah lelaki manakala selebihnya adalah perempuan.

“Mereka berusia antara 16 dan 65 tahun termasuk 14 orang warga asing.

“Kesemua kes tangkapan ini kini sedang disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru