Tuesday, August 16, 2022

Pelajar Unimas jatuh apartmen minggu lalu hembus nafas terakhir, polis tunggu laporan autopsi pagi ini

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak menunggu laporan autopsi sebelum membuat kesimpulan mengenai kematian seorang pelajar Tahun 3, Universiti Malaysia Sarawak yang terjatuh dari apartmen sewaannya di Blok G, Vista Ilmu, Desa Ilmu, Samarahan pada 20 November lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar memberitahu, proses autopsi akan berlaku pada pagi ini bagi mengenal pasti sama ada mangsa mempunyai kecederaan lain, selain daripada kecederaan yang konsisten akibat jatuh.

“Setakat ini kita tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan elemen jenayah, sebaliknya lebih kepada tindakan bunuh diri,” katanya kepada media semalam.

Mangsa, Nur Aina Shaheerah Binti Mohamad Sahmat, 22 tahun, penuntut jurusan Kajian Politik dan Pemerintahan, Fakulti Sains Sosial menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4 petang semalam.

Mangsa berasal dari Kampung Pinang, dekat sini.

Dev sebelum ini memberitahu, hasil siasatan awal dan temu bual dengan saksi, rakan sebilik, kawan dan ahli keluarga gagal menemukan petunjuk yang boleh mengaitkan insiden ini dengan perbuatan jenayah.

Justeru khabar angin yang mengatakan mangsa mungkin ditolak oleh teman lelakinya adalah mengarut dan tidak benar.

Dev kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan berita palsu itu dan memberitahu akan mengambil tindakan keras jika perbuatan itu tidak dihentikan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru