Monday, November 28, 2022

MA63: Abg Jo ulangi S’wak miliki dokumen sahih hak pemilikan laut, pantai negeri

Secara Rawak

BINTULU: Kerajaan Sarawak mendakwa mempunyai dokumen sahih berkaitan hak pemilikan laut dan pesisir pantai negeri ini.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, usaha mendapat semula kuasa berkaitan laut dan pesisiran pantai sejauh 12 batu nautika diterus menggunakan fakta diperoleh Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang menjalankan penyelidikan di London sebelum ini.

Abang Johari mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersetuju dengan permintaan Sarawak mendapatkan semula hak yang terjejas melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

Sarawak menghantar ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri sebagai ahli jawatankuasa Sarawak.

Berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan PBB Cawangan Kakus, Belaga, Murum, Jepak, Tanjong Batu, Kemena dan Samalaju (Zon 9) pada Ahad Abang Johari turut menyentuh isu mengangkat ekonomi Sarawak dengan penyesuaian serta dasar baharu melalui ekonomi digital.

Ekonomi dipertingkatkan dan bergerak kepada perniagaan berasaskan e-dagang, selain mengubah sektor pertanian memanfaatkan teknologi.

Abang Johari turut menyentuh berkaitan bantuan biasiswa untuk anak-anak Sarawak RM1 juta melanjutkan pelajaran selama setahun hasil pendapatan Yayasan Sarawak yang meningkat kepada RM300 juta.

Selain itu, beliau menyentuh berkaitan memanfaatkan tenaga hijau seperti idea Jerman.

Ini sekali gus dimanfaatkan untuk transit aliran ringan (LRT) di Kuching serta membangunkan kereta api untuk destinasi Kuching-Bintulu menggunakan teknologi berkenaan pada masa depan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru