Saturday, August 20, 2022

Kenali NDCC — pemerhati dan penganalisis bencana di Malaysia, pencetus amaran awal dan perancang mekanisme bantuan

Secara Rawak

Tugas mereka bukan mudah. Tugas mereka amat mencabar. Mereka merupakan petugas di Pusat Kawalan Bencana Negara, atau lebih dikenali sebagai National Disaster Command Center (NDCC) Nadma.

Ketika ini, antara tanggungjawab mereka termasuklah melakukan pemantauan keadaan cuaca dan paras air sungai, sebagai langkah siap siaga menghadapi kejadian bencana.

Pengarahnya, Zuraini Mohd Yusof mengakui akan hakikat ini.

Menurutnya, berikutan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) di sesetengah kawasan di seluruh Malaysia, setelah Jabatan Metereologi Malaysia mengumumkan 23 hingga 26 November sebagai detik berwaspada di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, mereka meningkatkan tahap kewaspadaan.

NDCC kata Zuraini beroperasi 24 jam selama tujuh hari bagi memantau situasi bencana di Malaysia.

“Selain itu, NDCC juga wajib membuat laporan situasi bencana setiap empat jam sekali, untuk meninjau perkembangan terkini bencana yang terjadi seluruh negara.

“Tindakan ini akan memudahkan pihak media dan masyarakat umum untuk mengetahui perkembangan semasa situasi bencana.

“NDCC memantau banyak perkara lain seperti kejadian tanah runtuh, gempa bumi tsunami dan perkara-perkara lain yang ditakrifkan sebagai bencana oleh Jawatankuasa Bencana.

Pihak NDCC kata Zuraini, sedia menerima panggilan sesiapa sahaja untuk mengetahui apa jua perkara yang ada kaitan dengan kejadian bencana.

“Kerana itu, NDCC menerima panggilan kejadian bencana di seluruh Malaysia. Jika ada kejadian tersebut, kami boleh dihubungi melalui hotline 03-80642400 atau faksimili
03-80635420 atau emel opsroom@nadma.gov.my.

NDCC katanya, memfokuskan pemantauan keadaan semasa seperti keadaan cuaca, paras air sungai, paras air pasang/surut, indeks kualiti udara, dan juga keadaan bencana yang berlaku di seluruh negara.

“Selain itu NDCC juga memantau keadaan bencana serantau melalui AHA Centre dan peringkat antarabangsa melalui GDACS

Pemantauan di peringkat serantau dan antarabangsa tegasnya, dilakukan memandangkn NDCC turut bertanggungjawab mengatur gerak operasi Pasukan Mencari & Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah diberi pengiktirafan oleh INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group ) di bawah kelolaan United Nation sebagai Heavy USAR Team di peringkat antarabangsa pada tahun 2016.

“Pasukan SMART juga merupakan pasukan kedua di ASEAN selepas Singapura, ke-8 di peringkat Asia Pasifik dan ke-46 di peringkat dunia.

Memandangkan musim monsun timur laut telah bermula sejak 13 November lepas, dan kerajaan telah berusaha menambah baik keberkesanan sistem amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MMD), NDCC memohon masyarakat agar lebih peka dengan amaran hujan peringkat kuning,jingga dan merah.

Sistem yang diguna pakai sebelum ini telah ditukarkan kepada peringkat waspada , buruk dan bahaya.

NADMA Malaysia melalui NDCC juga katanya, menasihati semua penduduk terutamanya di kawasan berisiko banjir mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan semasa daripada sumber yang sahih mengenai situasi bencana di kawasan masing masing.

“NADMA Malaysia ingin mengingatkan semua penduduk di kawasan berisiko supaya menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan sentiasa bersiap siaga serta mematuhi arahan daripada agensi-agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan jika diarahkan untuk berpindah .

“Penduduk yang berpindah dinasihati agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota penyelamat dan mengikut arahan dari semasa ke semasa demi menjaga keselamatan semua pihak,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru