Sunday, September 25, 2022

Guna teknologi teknologi kreatif, sentuhan kepintaran artifisial untuk promosi pelancongan Sarawak — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi mahu para pemain industri pelancongan dan perkhidmatan di negeri ini mengubah cara perniagaan mereka, terutama dari aspek promosi.

Katanya, dengan tumpuan Kerajaan Negeri kepada penggunaan teknologi digital serta ekonomi digital menjadi dasar terbaharu pentadbirannya, sewajarnya sektor ini memanfaatkan teknologi tersebut.

“Sarawak kaya dengan budaya dan alam semula jadi dan sewajarnya ia dipersembahkan kepada orang ramai secara real-time, menggunakan sentuhan kreatif 3D dan kepintaran artifisial.

“Kaedah ini lebih moden dan dapat memberikan gambaran tentang Sarawak, seterusnya memikat pengunjung luar untuk bertanding ke sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak di Hotel Imperial di sini semalam.

Katanya, beliau percaya, industri pelancongan di negeri Sarawak mempunyai masa depan yang gemilang dan sebagai Ketua Menteri, beliau akan menyokong semua usaha untuk merancakkan industri ini.

“Antaranya termasuklah menaik taraf semua kemudahan pelancongan di kawasan Kuching Lama, yang akan dikembangkan sebagai ‘kawasan warisan’.

“Untuk tujuan itu, saya telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM15 juta untuk mencantikkan persekitaran di sepanjang Tebingan Kuching.

Katanya, ketika ini Kuching memiliki tarikan menarik, Jambatan Darul Hana yang menjadi tumpuan ramai pengunjung terutamanya pada waktu malam.

“Di sisi yang lain, kita bakal memiliki Jambatan Gantung, jambatan yang ada nilai sentimental serta warisan kenangan kepada masyarakat Kuching.

“Kita juga akan menambah baik Fort Margherita, yang akan dilengkapi dengan restoran berkonsepkan taman dalam kawasan pekarangan kubu.

Semua ini tegasnya, akan menjadikan Kuching sebagai destinasi yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar.

Katanya, dengan segala komitmen dan perancangan besar Kerajaan Negeri untuk sektor pelancongan, kini terpulang kepada para pemain industri untuk menggerakkan aktiviti promosi dan publisiti yang sepatutnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru