KUCHING: Tiga buah sekolah, dua di Kapit dan satu di Kanowit ditenggelami banjir rendah semalam, menjejaskan 343 pelajar dan guru.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin memberitahu, keadaan bagaimanapun dalam keadaan terkawal dengan sekolah-sekolah yang terlibat ialah SK Nanga Kain dan SK Nanga Sempili di Kapit dan SK Ulu Bawan di Kanowit.

“Dua sekolah di Kapit itu ditutup manakala sekolah di Kanowit beroperasi seperti biasa sehingga jam 4 petang semalam setelah banjir menunjukkan trend menurun.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak melaporkan bahawa hanya satu kawasan iaitu Stesen Teluk Buing di Kapit menunjukkan trend menaik hingga mencapai paras bahaya.

“Stesen Nanga Merurung dan Bandar Kanowit mula merekodkan trend menurun dan mendatar.

“Tiada kebimbangan dan kecemasan kerana tiada hujan direkodkan di seluruh negeri Sarawak ketika ini,” katanya lagi.

Situasi banjir kilat ini katanya, berpunca daripada air pasang dan tiada sebarang pemindahan mahupun kemalangan dilaporkan. – Sarawakvoice