Tuesday, May 11, 2021

Meskipun sungai banyak, S’wak masih ditimpa krisis bekalan air

Mesti baca

SEBAGAI sebuah negeri yang dikurniakan dengan sungai yang banyak, Sarawak pada perkiraan zaman moden ini sepatutnya tidak mengalami krisis bekalan air.

Dengan kestabilan dan kemampuan kerajaan Sarawak yang berusia lebih 50 tahun ini, tiada alasan jika ada kawasan yang masih bergantung dengan air hujan, perigi atau sungai yang tidak terawat.

Namun malangnya, kampung terutama di pedalaman seperti beberapa tempat di Betong, Sarikei, Kapit dan lain-lain seolah-olah masih mundur dan ini disahkan melalui laporan daripada Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Stephan Rundi Utom yang menyatakan terdapat 39 peratus kawasan luar bandar di Sarawak masih belum mendapat bekalan air bersih.

Kelewatan memenuhi keperluan asas penduduk kampung di pedalaman ini sukar difahami kerana perkara ini seharusnya antara perkara yang utama difikirkan oleh kerajaan dari hari pertama mentadbir lagi, iaitu memastikan rakyatnya mendapat kemudahan air bersih.

Tidak dinafikan keluasan tanah di Sarawak ini menjadi salah satu cabarannya, selain bentuk rupa bumi dan jarak yang jauh dari loji rawatan air menjadikan kos pembinaan dan penyambungan paip ini agak tinggi.

Persoalannya, ia terlalu lama untuk diberi perhatian, malah seperti kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengambil tindakan ketika suara rungutan timbul sejak sekian lama lagi.

Malah, sekiranya masalah kos yang tinggi menjadi kekangan, kerajaan sepatutnya proaktif dalam mendapatkan penyelesaian jangka pendek yang tidak melibatkan kos tinggi seperti pam serta penapis mudah alih yang sedia ada diguna di kawasan yang kurang air seperti Afrika.

Teknologi seperti ini dapat dimanfaatkan untuk sementara sebelum paip bekalan air dapat disambungkan sepenuhnya.

Pemberian tong biru walaupun dapat menakung air hujan, ia sebenarnya lebih mudah mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan sekiranya air hujan yang ditakung itu diminum.

Unsur kimia yang terlarut di dalam air tidak akan hilang walaupun dimasak boleh mendatangkan penyakit.

Hanya kini, setelah masalah ketiadaan air bersih ini mudah ditularkan di media sosial barulah nampak dana yang cukup besar diperuntuk untuk menyelesaikannya.

Walaupun kata-kata “better late than never” ini memberi harapan kepada penduduk kampung yang berkenaan, namun ia tetap mengambil masa bertahun juga bagi penduduk kampung berkenaan merasa air bersih terawat keluar dari kepala paip di rumah. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru