Sunday, September 19, 2021

Penyertaan hadiah tertinggi kewartawanan terus dibuka hingga 16 Januari

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2017 terus dibuka untuk wartawan sepenuh masa yang bertugas dengan pertubuhan media yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia di negara ini sehingga 16 Januari 2018.

Pengurus Kanan Operasi dan Korporat MPI, Norlida Jamain berkata setiap penyertaan akan dikenakan bayaran bergantung kepada pertubuhan media tersebut sama ada berdaftar sebagai ahli MPI atau sebaliknya.

“Sebagai ahli MPI akan menikmati kadar bayaran pada RM100 manakala bukan ahli perlu membayar RM200 bagi membolehkan penyertaannya diproses oleh Sekretariat MPI,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, penyertaan untuk hadiah berkenaan dibuka mulai 2 Oktober lalu dan Sekretariat Institut Akhbar Malaysia (MPI)  bersedia menerima karya kewartawanan yang  diterbit dan disiarkan sepanjang tahun 2017 daripada pengamal media tempatan.

HKM merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap karya kewartawanan Malaysia menerusi memasuki edisi ke-37 tahun penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 1980 oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Sebanyak 20 kategori dikekalkan dan dipertandingkan dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia 2017 (HKM 2017).

“Kami juga mengalu-alukan pencalonan daripada pertubuhan media, IPT atau NGO untuk kategori Tokoh Wartawan Negara, Anugerah Media dan Anugerah Khas Juri dengan mengemukakan profil lengkap calon beserta justifikasi pencalonan. Walaubagaimanapun, jika ada calon yang dinyatakan telah meninggal dunia, penyertaan yang layak adalah dalam tempoh setahun dari tarikh kematian calon tersebut”, ujar Norlida.

Tarikh tutup penyertaan HKM 2017 ialah 16 Januari 2018 dan sebarang penyertaan yang lewat dikemukakan tidak akan dilayan.

Majlis penyampaian HKM 2017 dijangka diadakan pada Malam Wartawan Malaysia dijangka berlangsung pada awal Mei 2018.

 

Untuk keterangan lanjut sila layari www.mpi.my atau klik pautan dibawah:

  • Borang penyertaan HKM 2017
  • Borang pembayaran penyertaan
  • Borang penyertaan kategori Tokoh Wartawan Negara; Tokoh Media dan Anugerah Khas Juri
  • Syarat-syarat dan peraturan HKM 2017
  • Senarai ahli MPI

HKM 2016 menyaksikan 291 penyertaan diterima dan sejarah tercatat dalam penganjuran HKM apabila Panel Hakim memutuskan pemenang Anugerah Penyiasatan Cemerlang diangkat sebagai pemenang Hadiah Kajai.

Hadiah utama disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  pada 21 April lalu pada Malam Wartawan Malaysia 2017.

Secara Rawak

Artikel Terbaru