Pengarah strategik: Apa lagi yang Lim Guan Eng dustakan?

0
4

PULAU PINANG: Ketua Menteri, Lim Guan Eng disifatkan terus memperlihatkan kebebalannya apabila mempertikaikan jumlah peruntukan mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu yang didakwa jauh lebih kecil berbanding yang diberikan kepada Pahang dan Kelantan.

Pengarah Strategik Umno Kepala Batas, Azizi Safar berkata, Guan Eng tidak sepatutnya berterusan mempamerkan kebebalannya sebaliknya membuat perbandingan mangsa banjir dan kerosakan yang dialami negeri terbabit sebelum mempertikaikan Kerajaan Pusat.

Jelasnya, banjir di Pahang, Kelantan dan negeri-negeri tidak serupa banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang.

“Guan Eng perlu cerdik untuk membezakan banjir yang berlaku di Pahang dan Kelantan dengan banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang,” katanya seperti dipetik portal umno.

Ujar Azizi, lebih baik Guan Eng berhenti mempolitikkan isu banjir dengan memburukkan imej kerajaan persekutuan kerana rakyat sudah dapat melihat dengan terang dan jelas siapa yang banyak menghulur bantuan ketika mereka dalam kesusahan.

Beliau turut membidas kenyataan Guan Eng yang mengatakan Kerajaan Persekutuan seakan memberi gambaran Pulau Pinang dilupakan.

“Guan Eng sepatutnya berhenti mengukur bentuk bantuan hanya dari segi kewangan dan jangan meletakkan tanggungjawab sendiri di bahu orang lain.

“Apa lagi yang mahu Guan Eng dustakan,” bidasnya.

Guan Eng dalam sidang medianya semalam mendesak agar Kerajaan Persekutuan dapat mengumumkan jumlah bantuan kewangan yang bakal dihulurkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang. – Sarawakvoice

Gambar fail – Lim Guan Eng