Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Seragam atau United Examination Certificate (UEC) bermakna kerajaan tidak menghargai kesetiaan pelajar Cina yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana.

Tahun 1975, sekolah-sekolah persendirian Cina mengambil keputusan tidak mahu mengikuti sistem peperiksaan dalam pendidikan arus perdana. Mereka memperkenalkan sijil peperiksaan mereka sendiri yang dikenali sebagai UEC.

UEC tidak diiktiraf oleh pihak kerajaan. Masyarakat Cina berbelah bagi, ada yang menghantar anak-anak ke sekolah persendirian Cina, dan ramai juga yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah arus perdana.

Terdapat 60 buah sekolah persendirian Cina yang membuat keputusan menggunakan UEC diseluruh negara. Dahulu, ibu bapa sekolah persendirian Cina tidak pentingkan pengiktirafan pihak kerajaan kerana pemegang UEC diterima oleh banyak universiti di luar negara.

Akhir-akhir ini kita dengar banyak suara mencadangkan agar pihak kerajaan mengiktiraf UEC. Pelbagai alasan diberikan supaya kerajaan menerima pemegang sijil UEC untuk memasuki IPTA dan seterusnya perkhidmatan awam di Malaysia.

Pada minggu lalu, isu pengiktirafan UEC kedengaran kembali dibangkitkan di parlimen oleh ahli-ahli  parlimen daripada DAP. Mereka bertanya soalan kepada Menteri Pendidikan,  mengapa kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf UEC sedangkan UEC diterima  pelbagai universiti ternama di dunia seperti Havard dan Oxford.

Dalam satu forum yang dianjurkan  Majlis Profesor Negara (MPN),  Pengerusi Kluster Warisan dan Sejarah MPN, iaitu Profesor Dato’ Dr Teo Kok Seong mengutarakan pendapat seperti berikut:  “…sekiranya pelajar UEC diterima masuk ke IPTA, kerajaan tidak berlaku adil kepada pelajar Cina yang telah lama berada dalam sistem pendidikan arus perdana (yang mengambil SPM dan STPM)”.

Gambar hiasan

“Kita harus sedar habawa ramai ibu bapa Cina yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka memasuki sistem pendidikan arus perdana. Harapan mereka adalah untuk memasuki IPTA tempatan. Untuk kemasukan ke IPTA, kita ada kuota kemasukan. Pelajar-pelajar Cina yang ada dalam sistem pendidikan arus perdana terpaksa bersaing sesama mereka kerana kuota ini dan sekiranya pelajar UEC diterima, tempat kepada pelajar cina dalam sistem pendidikan  arus perdana menjadi semakin sedikit. Ini adalah tidak adil kepada pelajar Cina yang selama ini telah setia berkorban dengan belajar di bawah sistem pendidikan arus perdana.”

Seterusnya Teo bertanya, “kenapa dahulu sekolah persendirian Cina tidak mahu menyertai sistem pendidikan arus perdana semasa mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian? Kenapa sekarang baru sibuk mahu diiktiraf, dahulu tanpa pengkitirafan kerajaan mereka tidak peduli pun?”

Beliau menambah, “baguslah kalau universiti ternama di dunia mengiktiraf UEC, pergilah belajar di sana dan jangan ganggu peluang dan kuota pelajar Cina di IPTA tempatan”.

Kepada golongan yang memperjuangankan isu UEC, sedarkah mereka berapa ramai pelajar Cina yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana? Kenapa kepentingan mereka yang setia kepada sistem pendidikan yang dibangunkan oleh kerajaan ini tidak dipertahankan?

Kepada pihak berkuasa, kesetiaan yang ditunjukkan oleh ibu bapa Cina yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka belajar di bawah sistem pendidikan arus perdana semenjak tahun 1975 lalu janganlah dibalas dengan retorik kepentingan politik jangka pendek demi mengejar populariti.

Pendukung UEC pula tidak perlulah mendesak pihak kerajaan mengiktiraf mereka sekarang ini. Sejarah menunjukkan mereka tidak begitu mementingkan pengiktirafan daripada kerajaan pada masa lampau. Kenapa tidak kekal sahaja dengan status sedemikian? – Sarawakvoice