Tuesday, May 11, 2021

Najib bermesyuarat dengan wakil Malaysia sebelum bertemu Jokowi

Mesti baca

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebentar tadi mengadakan mesyuarat tertutup dengan wakil Kerajaan Malaysia sebelum menghadiri pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Jokowi sebentar lagi.

Beliau dilihat memasuki bilik mesyuarat di Hotel Hilton sekitar jam 9.30 pagi yang turut dihadiri oleh menteri-menteri kanan seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kerajaan Negeri Sabah diwakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman manakala Kerajaan Sarawak diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Morshidi Ghani.

Pertemuan bilateral dijangka berlangsung sekitar jam 10 pagi diikuti perjanjian persefahaman berkaitan pendidikan tinggi Islam sekitar jam 11.30 pagi.

Kedua-duanya dijadualkan menghadiri jamuan tengah hari tertutup selepas sidang media pada jam 11.45 pagi.

Jokowi dijangka berjumpa dengan rakyat Indonesia di Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya sekitar jam 2.00 petang.

Pesawat khas rasmi Presiden Indonesia itu dilaporkan mendarat pada jam 9.30 pagi tadi dan disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang dalam kunjungan pertama ke Sarawak selepas menjadi Presiden dijangka kembali ke Jakarta sekitar jam 4.50 petang. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru