KANOWIT: Selepas lima jam dilaporkan hilang, usaha gigih pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kanowit berjaya menemui mangsa sekitar jam 6.10 petang semalam, kira-kira 20 meter dari tebing sungai tempat kali terakhir dilihat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) yang melakukan selaman di kawasan berkenaan.

Terdahulu pihak bomba dan penyelamat dimaklumkan tentang tragedi tersebut sekitar jam 1.38 petang dan sebuah jentera FRT dengan kekuatan enam anggota dan tujuh anggota PPDA diatur gerak ke lokasi di pangkalan Pekan Kanowit.

“Sejurus menemui mangsa, pasukan PPDA mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang malang dikenal pasti sebagai Danny Manggie,15 tahun ,” katanya lagi. – Sarawakvoice