Tuesday, May 11, 2021

Sediakah internet jadi penentu pilihan pengundi pada PRU14?

Mesti baca

SEJAUH mana teknologi serta kemudahan internet mampu mempengaruhi serta menjadi faktor penentu kepada keberkesanan keputusan pilihan raya di negara ini?

Berasaskan hujah bahawa politik dan kempen politik kini lebih banyak bergantung dengan media dalam talian dan elektronik, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membuat kesimpulan bahawa internet menjadi faktor penentu dalam pilihan raya.

Ini bermakna, jika mengambil hipotesis telahan tersebut, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dianggap penganalisis sebagai “ibu segala pilihan raya” di Malaysia, akan memperlihatkan penggunaan maksimum internet untuk dimanfaatkan dalam perang siber oleh kedua-dua kubu penyokong kerajaan dan pembangkang.

Sekali lagi, jika hipotesis ini benar, dengan menolak unsur sabotaj, maka kempen politik yang dilancarkan pada PRU14 akan berada di lapangan yang “rata”, setara, saksama dan adil?

Tidak timbul persoalan “padang kempen yang senget” dan tidak bebas atau dikuasai kerajaan memerintah di peringkat Pusat yang berupaya mengawal instrumen media khususnya arus perdana.

Mengambil catatan di blog Bendahari UMNO itu seperti dilaporkan Bernama, Salleh berkata penggiat politik mula menggunakan internet pada 1998 untuk mempengaruhi pandangan  umum.

Tulis beliau lagi, namun 10 tahun kemudian rakyat Malaysia menyedari impak internet dalam mempengaruhi undi.

Salleh turut memetik kenyataan jutawan media Keith Rupert Murdoch bahawa pada 2050, media akan berada dalam talian atau elektronik sepenuhnya.

Kesimpulan, drastik Murdoch yang mengejutkan pengamal media ialah media cetak akan menjadi perkara yang tidak wujud lagi!

Rupert Murdoch Konglomerat Media

Murdoch ialah konglomerat media asal Australia berusia 86 tahun, pemilik News Corporation, syarikat media terbesar dan paling berpengaruh di dunia merangkumi rangkaian Fox News, 20th Century Fox (1985), The Wall Street Journal (2007) dan dan HarperCollins (1989) di Amerika Syarikat dan BSkyB (1990) di Britain.

Saleh menganalisis bahawa keadaan ini dijangka berlaku lebih awal dari 2050 di Malaysia.

Justeru, beliau meminta setiap orang terutama industri media perlu bergerak seiring dengan masa dan menjadi celik internet.

Nasihat Salleh, lebih penting, masyarakat Malaysia tidak wajar merosakkan integriti media dalam talian dengan pertambahan berita palsu kerana ini mewujudkan masalah defisit amanah yang serius.

Justeru, setiap orang menurut Salleh perlu memastikan integriti media dalam talian tidak terhakis disebabkan tindakan segolongan manusia.

Salleh benar, dari sudut menjaga integriti kredibiliti maklumat di internet yang disebarkan secara bebas dan berleluasa, internet perlu bebas daripada bahan fitnah dan makumat palsu.

Di internet, berita palsu paling mengambil banyak tempat di media sosial.

Pengaruh Facebook, Whatsapp, WeChat, Twitter, Instagram, Youtube

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook Mark Zuckerberg mengesahkan jumlah pengguna Facebook dunia mencecah 2 bilion, meningkat dua kali ganda berbanding 1 bilion pada Oktober 2012.

Facebook media sosial terbesar menguasai seperempat daripada keseluruhan penduduk dunia berbanding YouTube 1.5 bilion, WeChat 889 juta dan Twitter 328 juta.

Malaysia mencatatkan peratusan setinggi 75 peratus daripada jumlah 30 juta penduduk iaitu terdapat sekitar 22 juta pengguna Facebook.

Sementara, The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 77 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita, diikuti Facebook Messenger 41 peratus.

Selain itu, kadar tembusan penggunaan Youtube di negara ini ialah 26 peratus dan masing- masing WeChat serta Instagram ialah 13 peratus.

Rakyat Malaysia dikenal pasti mendapat berita melalui media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

Peranti utama atau medium yang digunakan ialah telefon pintar iaitu 65 peratus, komputer 45 peratus dan tablet 18 peratus.

Kebenaran pengaruh internet ke atas kehidupan rakyat Malaysia termasuk penentu pegangan politik pengundi mungkin ada benarnya dilihat dari satu sudut.

Dalam konteks ini, pakar komunikasi perlu melihat semula bahawa mesej yang dibawa dan dikongsi dalam medium media sosial bukan lagi dianggap sebagai bahan perse media massa secara konvensional.

Mesej dan bahan yang tersebar di dalam media sosial lebih kepada cantuman antara komunikasi multimedia interpersonal — kacukan mesej audio, video, percakapan muka ke muka menggunakan “Facetime” dengan respons atau maklum balas dalam kadar “segera dan semasa” dari saat ke saat.

Ia bukan sekadar sebuah komunikasi menggunakan talian telefon konvensional, ia jauh lebih ke depan daripada itu.

Bezanya hanyalah tidak berlaku sentuhan kulit dan sentimen badan ke badan.

Hal ini diperkatakan kerana terdapat teori yang sangat terkenal secara popular tetapi klasik bahawa media massa tidak berpengaruh dalam menukar pegangan politik pengundi.

Pakar rayuan komunikasi masih meletakkan komunikasi interpersonal, muka ke muka, melalui sentuhan peribadi mempunyai impak penting mempengaruhi, termasuk merayu dan menukar pegangan politik pengundi.

Sementara, Murdoch menakah bahawa media secara fizikal dapat disentuh dengan tangan seperti akhbar akan “hilang” sepenuhnya pada 2050, dalam tempoh 30 tahun lagi.

Kenyataan Murdoch melawan teori klasik yang menyangkal bahawa media secara fizikal seumpama nasi, sukar dilupakan dari hidangan harian.

Ia mungkin diperlukan dalam kuantiti yang mengecut seperti nasi yang perlu dimakan sedikit atau dimakan secara berselang hari.

Betapapun, melihat kepada perkembangan global yang sukar diramal, penuh kejutan serta semakin ramai orang celik untuk berfikir di luar kotak dan sedia menganjak pradigma selesa, maka 30 tahun lagi teori klasik media yang menganggap akhbar di pasaran masih diperlukan, akan tercabar. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru