Monday, June 27, 2022

Taman negara destinasi popular tumpuan pelancong di Sarawak — Abdul Karim

Secara Rawak

KUCHING: Taman negara terus muncul destinasi paling digemari para pelancong kerana kepelbagaian biodiversiti, landskap indah serta tarikan hidupan liarnya, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga September lalu, taman negara telah mencatatkan kehadiran sebanyak 462,361 pelawat iaitu 102,051 pelawat asing dan 360,310 pelawat domestik.

“Untuk tempoh yang sama pada tahun 2016, taman negara telah mencatatkan sebanyak 422,485 jumlah pelawat iaitu 94,263 warga asing dan 328,222 pelawat domestik.

“Ini menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 8.6 peratus ketibaan pengunjung ke taman negara termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Pusat Hidupan Liar Matang, Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Mulu.

Menurut Abdul Karim, Pusat Hidupan Liar Semenggoh merupakan taman negara pertama di Sarawak diiktiraf sebagai Jaminan Kualiti Pelancongan Malaysia (MYTA) pada tahun 2016 di bawah kategori Alam dan Pengembaraan.

“Pengiktirafan tersebut adalah bagi memastikan standard dan mutu untuk pengeluaran sesuatu produk dan pengiktirafan tersebut sah selama tiga tahun bermula 2017 hingga 2020,” katanya ketika menyampaikan penggulungan di Dewan Undangan Negeri semalam.

Taman Negara Bukit Lambir katanya lagi, telah dianugerahkan sijil kecemerlangan 2017 oleh Trip Advisor pada tahun ini.

“Anugerah tersebut diberikan berdasarkan maklum balas para pelancong akan kualiti perkhidmatan dan beberapa aspek lain yang disediakan di kawasan tersebut.

Selain itu, Abdul Karim juga memberitahu bahawa kementeriannya menggalakkan aktiviti ekopelancongan  berasaskan komuniti (CBET), yang memberi tumpuan kepada aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan alam sekitar dan sumber semula jadi.

“Selain mengetengahkan amalan dan kebudayaan tempatan, ia juga memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan alternatif kepada pendidik setempat,”ujarnya.

Katanya, terdapat enam homestay telah didaftarkan pada tahun 2017 iaitu Homestay Rumah Pengulu Philip Kayak, Sungai Durin di Sibu, Homestay Lobang Batu di Serian, Homestay Singai di Bau, Homestay Mulu di Miri, Homestay Long Banga Ulu Baram di Miri dan Rumah Margherita di Julau.

Secara keseluruhan terdapat 41 homestay telah didaftarkan yang melibatkan sebanyak 582 pengendali di seluruh Sarawak, tambahnya lagi. — Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru