Monday, June 27, 2022

Sarawak sasar 5.25 juta pelancong tahun hadapan, belanja RM9.72b — Abdul Karim

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mensasarkan ketibaan 5.25 juta pelancong pada tahun hadapan yang dijangka berbelanja sebanyak RM9.72 bilion.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya optimis jumlah ini dapat dicapai memandangkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah pengunjung yang datang ke Sarawak adalah sekitar 3.72 juta orang.

“Ia meningkat 9.81 peratus berbanding 3.3 juta pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Dalam tempoh yang sama, sektor pelancongan menerima perbelanjaan sekitar RM6.9 bilion,” katanya ketika menyampaikan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18.

Jelasnya, berdasarkan trend ketibaan pelancong, selepas bulan Oktober hingga Disember ini, Sarawak dijangka menerima keseluruhan lima juta pelancong pada tahun 2017.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

“Ia merupakan peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding 4.66 juta pengunjung pada 2016.

Katanya lagi, sektor pelancongan dijangka menyumbang pendapatan sebanyak RM8.98 bilion iaitu peningkatan 6.9 peratus kepada negeri ini, seterusnya menyumbang 8.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada tahun ini.

Kerana itu katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan prasarana dan produk pelancongan yang ada, selain menambah nilai khidmat yang ditawarkan.

“Menerusi Program Transformasi Sosioekonomi pada awal tahun ini misalnya, kerajaan telah meluluskan 14 projek dan program di bawah Bidang Keberhasilan Utama (KRA) untuk pelancongan dengan kos keseluruhan RM51 juta.

Daripada 14 projek dan program, dua telah siap sepenuhnya, 10 dalam proses pelaksanaan dan dua lagi masih di peringkat awal.

“Sebanyak RM11.3 juta telah dibelanjakan pada tahun 2017 manakala bakinya akan dilaksanakan pada tahun 2018 dan 2019.

Antara KRA ini termasuklah naik taraf infrastruktur dan prasarana Wind Cave, Fairy Cave, Tebingan Kuching, Halaman Warisan Kuching dan naik taraf jeti  di Sungai Santubong.

“Pembinaan produk dan tarikan terbaharu pelancongan pula melibatkan penukaran Limbungan Brooke kepada Muzium Maritim, pembinaan laluan pejalan kaki di hadapan bangunan Dun baharu, dan penukaran bangunan lama Dun sebagai pusat seni persembahan.

“Turut dibangunkan ialah Muzium Lombong Emas di Bau dan penukaran bangunan lama Pejabat Residen Miri menjadi Pusat Budaya dan Warisan.

Kebanyakan projek ini kata Abdul Karim lagi, akan siap pada penghujung tahun hadapan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru