Samalaju dicadang diberi taraf sebuah daerah

KUCHING: Seorang penyokong kerajaan mencadangkan supaya Samalaju diberi taraf sebuah daerah sejajar dengan pembangunannya sebagai pusat perindustrian yang sedang pesat membangun.

Majang Anak Renggi (BN-Samalaju) berkata Taman Perindustrian Samalaju merupakan sebahagian daripada komponen Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang telah menerima pelaburan mencecah lebih RM30 bilion membabitkan industri pembuatan dan kejuruteraan berat, seterusnya sebagai sebuah bandar baharu bertaraf moden seiring dengan kemajuan dan pertambahan penduduk yang dijangka akan menjangkau lebih daripada 30,000 orang menjelang tahun 2020.

“Justeru saya mencadangkan supaya diwujudkan daerah baharu Samalaju bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya daerah baharu ini nanti juga dilihat dapat memudahkan proses urbanisasi sesuai dengan status Samalaju sebagai Pusat Perindustrian,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2018 pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 di sini hari ini.

Sementara itu, Rolland Duat Anak Jubin (BN-Meluan) berkata walaupun Julau yang berstatus daerah sejak 44 tahun lalu, namun ia masih dikategorikan sebagai sebuah daerah yang agak jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan infrastruktur.

Katanya, daerah Julau juga terkenal dengan reputasinya sebagai pengeluar utama komoditi lada yang bermutu tinggi.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar negeri mewujudkan “Taman Kekal Pengeluaran Makanan” di Meluan.

Katanya, durian Musang King berpotensi tinggi untuk ditanam memandangkan permintaan domestik dan luar negara, khususnya negara China terhadap buah durian jenis itu adalah sangat tinggi.

Beliau juga memohon kerajaan negeri mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di Pusat Latihan Pertanian (ATC) Julau yang akan berfungsi sebagai pusat hentian setempat untuk aktiviti pemasaran dan juga jual beli hasil-hasil pertanian dari kawasan Julau.

–BERNAMA