Penceroboh masuki SMK Sematan kerana pagar roboh bimbangkan Adun Tanjung Datu

KUCHING: Pagar usang dan roboh menjadikan punca orang luar yang tidak dikenali menceroboh masuk SMK Sematan baru-baru dan ia amat menakutkan, kata Adun Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Melaungkan kekecewaan, Jamilah khuatir akan keselamatan para pelajar sekolah tersebut, apatah lagi ia dilakukan oleh mereka yang disyaki pekerja kebun dan ladang di belakang sekolah tersebut.

“Sehubungan itu saya memohon perhatian serius kerajaan dalam menangani permasalahan ini.

“Tolong bina kembali pagar keliling tersebut sebelum ia menjadi agak terlambat hingga melibatkan nyawa,” katanya ketika menyertai perbahasan dalam mesyuarat kedua penggal kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 di sini hari ini.

Gambar fail

Beliau turut menyentuh tentang keperluan untuk mendapatkan bangunan baharu SMK Lundu bagi menempatkan 70 pelajar dalam kelas Pendidikan Khas.

“Ketika ini mereka menggunakan tiga buah kelas yang sepatutnya hanya untuk 21 pelajar.

“Sekolah ini juga memerlukan perpustakaan baharu dan kerja-kerja pendawaian semula seluruh bangunannya,” katanya lagi.

Jamilah  turut menyentuh tentang keperluan untuk mempromosikan Taman Negara Tanjung Datu, biarpun berhadapan masalah perhubungan.

“Situasi ini seharusnya tidak mengurangkan usaha-usaha promosi.

“Misalnya di Taman Negara Gunung Gading, pengurusan Sarawak Forestry Corporation perlu mempromosikan bunga Rafflesia sebelum ia kembang bagi mengelakkan kekecewaan pengunjungnya.

Sehingga Oktober lalu, Taman Negara Gading menyaksikan kehadiran 17,294 pengunjung berbanding 51,520 orang yang hadir di Taman Negara Bako dalam tempoh yang sama. – Sarawakvoice