Wednesday, August 17, 2022

Pan Borneo berjalan lancar, 10 pakej mendahului jadual — Julaihi

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak dijangka dapat menikmati sepenuhnya penggunaan Lebuh Raya Pan Borneo pada suku ketiga tahun 2021, kata Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi semalam.

Menurutnya, ketika ini semua projek tersebut sedang rancak berjalan dengan 10 daripada 12 jajarannya sedang mendahului jadual kerja di antara 0.23 peratus hingga 16.59 peratus.

“Kita menjangkakan akan menerima penyerahan projek siap jajaran Nyabau ke Simpang Bakun pada suku ketiga tahun hadapan manakala jajaran Telok Melano-Sematan siap pada suku tahun pertama 2019,” jelasnya ketika menjawab soalan Adun Tanjong Batu, Chiew Chiu Sing.

Katanya, hanya dua jajaran yang berhadapan kelewatan iaitu pakej Serian ke Pantu, kurang 2.25 peratus daripada jangkaan asal disebabkan masalah tenaga kerja dan mesin.

“Pakej Batang Skrang ke Sungai Awik lewat 0.50 peratus disebabkan kerja-kerja menanam cerucuk untuk membina jambatan.

“Pakej jajaran Nyabau ke Simpang Bakun yang merupakan pakej permulaan projek ini telah dianjak tarikh akhirnya dari 29 Oktober lalu kepada 20 Ogos depan disebabkan hambatan pada struktur.

Bagaimanapun jelasnya, projek itu kini sedang berjalan mengikut jadual.

Di Sarawak, projek ini membabitkan kerja-kerja menaik taraf laluan sepanjang 779 kilometer sedia ada kepada dua lorong, selain membina 115 jambatan dan tiga kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk kemudahan orang ramai.

Pembinaan lebuh raya yang menjangkau jarak lebih 1,000 kilometer menghubungkan Sarawak dan Sabah dianggarkan membabitkan kos RM27 bilion, dengan RM14.2 bilion diperuntukkan kepada negeri ini.

Keseluruhan projek dijangka siap pada 30 Jun 2021, kata Julaihi lagi. – Sarawakvoice

Gambar fail

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru