Mahasiswa Turun Parlimen: BN prihatin bela kebajikan rakyat Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Kerajaan Persekutuan  dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan sewaktu banjir di Pulau Pinang minggu lalu membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela kebajikan rakyat, kata Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) Sesi 7.

Jurucakapnya  Mohd Fadzli Naim berkata, usaha tersebut membuktikan bahawa budaya politik matang sentiasa diamalkan kerajaan terutamanya apabila membabitkan soal kemanusiaan.

“Tanpa mengira latar belakang politik atau fahaman idealogi mereka, pelbagai bantuan kemanusiaan dan perubatan diagihkan ke segenap kawasan terjejas, membabitkan usaha sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) dan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M),” ujarnya.

Foto MANTAP

“Misi kemanusiaan dijalankan tidak kira ketika bah atau pasca banjir adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sama sekali tidak mengambil kira latar belakang politik bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Kerajaan sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memperuntukkan kira-kira RM1 bilion kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Dengan adanya pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan dan NGO, fadzli berharap, semua keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi, sekali gus meringankan beban ditanggung mereka.

“Kita juga berharap pihak yang lebih berkemampuan turut saling membantu mangsa banjir tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik,” katanya. – Sarawakvoice