Lebih 20 ribu pesakit antarabangsa terima rawatan di hospital swasta Sarawak, sehingga Jun lalu

KUCHING: Sejumlah 38,140 pesakit luar negara telah mendapatkan rawatan di negeri ini pada tahun 2016 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah yang direkodkan adalah sebanyak 20,376 orang.

Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin berkata, jumlah ini membayangkan Sarawak berada pada landasan yang tepat dalam mempromosikan pelancongan perubatan.

“Lebih 24 ribu daripada pesakit ini adalah dari negara Indonesia manakala selebihnya dari China, Filipina, India, Pakistan, Australia dan beberapa negara lain,” katanya ketika menjawab soalan Adun Serembu, Miro Simuh semalam.

Perjelas Kim Shin lagi, terdapat 11 hospital swasta di negeri ini dengan 10 daripadanya dilesenkan untuk pelbagai disiplin perubatan manakala sebuah lagi menjalankan disiplin tunggal.

“Lima daripada hospital ini terdapat di Kuching, dua di Sibu, dua di Bintulu dan dua di Miri.

“Setiap hospital yang memperoleh lesen tersebut menawarkan di antara 23 hingga 130 katil manakala hospital tunggal satu disiplin beroperasi untuk menangani pesakit luar,” tambahnya lagi.

Kata Kim Shin, sebagai menggalakkan pelancongan perubatan ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian , Kebudayaan, Belia dan Sukan telah bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak dan hospital swasta terbabit untuk mengadakan promosi di Pontianak selain menyertai misi perdagangan ke Jogjakarta dan Brunei Darussalam. – Sarawakvoice

Gambar fail