Kehadiran 5 juta pelancong di S’wak, permintaan penginapan turut mendadak naik

KUCHING: Sarawak menyasarkan kehadiran 5 juta pelancong 2017, dengan setakat Januari-September lalu sasaran sudah mencapai hampir 4 juta pelancong.

Sasaran ini mengatasi statistik kehadiran pelancong 2016 yang merekodkan 4.66 juta pelancong mengunjungi negeri ini.

Bagi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pelancongan merupakan industri cepat membangun dan beliau melihat sektor swasta memainkan peranan sangat penting merancakkan industri ini.

Bercakap merasmikan Roxy Hotel di Batu Tiga di Kuching pada Isnin, Tengah berkata sesuai perkembangan rancak industri pelancongan, permintaan untuk penginapan turut mendadak.

Keperluan penginapan memuncak khususnya semasa diadakan majlis besar negeri atau berlangsung acara kebangsaan atau antarabangsa di Sarawak.

Menurut Tengah, kerajaan memandang serius kepentingan dan potensi industri pelancongan yang menyumbang kepada ekonomi Sarawak.

Dengan kehadiran semakin ramai pelancong ke Sarawak, menurut beliau, peluang mengusahakan hotel sangat cerah dan menguntungkan.

Tengah menganggap pembukaan Roxy Hotel oleh Tecktonic & Sons selari dengan usaha kerajaan mendesentralisasi pembangunan bandar raya Kuching.

Pada majlis tersebut, Tecktonic & Sons Sdn Bhd menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Autisme Kuching. – Sarawakvoice