Jangan tunggu rakyat bangkit mengamuk baru bertindak  — Dr Juanda

KUCHING: Tangki air siap 12 tahun lalu, tetapi hingga sekarang tidak diguna. Itulah dilema yang dihadapi oleh penduduk di Kuala Matu hingga membangkitkan ketidakselesaan Adunnya, Datuk Dr Juanda Jaya.

Dalam perbahasan belanjawannya semalam, Dr Juanda dengan nada sedih memberitahu, tangki yang siap pada tahun 2005 itu tidak dapat digunakan kerana wujudnya ‘missing link’ sekitar 13 kilometer, yang memerlukan kos hanya sekitar 4.85 juta untuk disediakan.

“Pada masa yang sama, saya juga memohon peruntukan sebanyak RM750 ribu untuk penggantian paip di sekitar Igan manakala untuk menggantikan semua paip lama di Daerah Matu, saya memohon keperluan bajet RM87.7 juta.

“Kerajaan perlu rancang segera penggantian ini,” jelasnya lagi.

Dr Juanda turut melahirkan kebimbangannya dengan jumlah pekerja asing yang semakin banyak di kawasan Dun Igan, yang bekerja di 18 ladang besar kelapa sawit milik golongan kapitalis di situ.

“Kerana kehadiran mereka ini, orang kampung tidak dapat apa-apa, hanya jadi penonton sedangkan orang asing masuk berlori-lori dan berbas.

“Mohon pencerahan berapa ramai orang asing di kawasan saya, dan tolong jaga keselamatan kami dengan mengawasi lambakan tidak terkawal ini,” tegasnya lagi.

Beliau turut melahirkan kemarahannya kepada Felcra yang mengadakan skim ladang sawit di kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.

“Saya dapat maklumat bahawa peserta Felcra Semenanjung menerima RM2 ribu sebulan tetapi malangnya di kawasan saya, ada yang terima mungkin tidak sampai RM20 sebulan.

“Campur tangan segera perlu dilakukan dan jangan tunggu rakyat bangkit mengamuk kerana pada 2015, ada peserta di kawasan saya hanya terima RM90 setahun untuk seekar tanah dan paling baik pun RM400 setahun untuk seekar tanah,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice