Jangan terpedaya: Teraju tidak lantik wakil kutip duit pemohon bantuan kewangan

KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Jabatan Perdana Menteri hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan cubaan pihak tertentu yang kononnya dapat membantu mereka mendapatkan bantuan kewangan daripada unit terbabit.

Pihak berkenaan yang mendakwa sebagai ejen memperdaya orang ramai dengan mengutip yuran kononnya bagi membantu mereka mendapatkan bantuan kewangan daripada unit terbabit.

“Teraju ingin mengingatkan orang ramai bahawa terdapat ejen yang mendakwa mewakili Teraju atau Kerajaan dengan tawaran untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Teraju dengan meminta mereka membayar yuran,” kata notis khidmat awam berkenaan yang disiarkan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris hari ini.

“Teraju tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk membantu mereka mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Untuk itu, katanya lagi, orang ramai dinasihati supaya menghubungi Teraju atau membuat laporan polis. – Sarawakvoice