Jamit yakin ekonomi digital akhirnya beri manfaat kepada S’wak

KUCHING: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat berkata teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini menguasai dunia, justeru usaha menjadikan Sarawak setara negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah, praktikal dan bijak.

Jamit memuji inisiatif dan visi Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melaksanakan ekonomi digital dan teknologi dengan mencontohi kejayaan e-kerajaan Estonia itu.

Membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada sidang DUN, Isnin, Jamit menyifatkan pelan ekonomi digital pasti memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Sarawak pada masa depan.

Sementara, mengulas Bajet Sarawak 2018, Jamit melihat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abang Johari serius meningkatkan taraf hidup rakyat terutama melalui pelaksanaan pelbagai projek luar bandar.

Bagi beliau, bajet tersebut berupaya menyokong visi kerajaan memaksimumkan potensi teknologi digital melalui peruntukan RM1 bilion untuk prasarana bagi inisiatif Ekonomi Digital Sarawak.

Semua ini dilakukan demi merealisasikan plan s-Sarawak atau Smart Sarawak.

Jamit turut menyambut baik usaha kerajaan negeri membantu pekebun kecil dan petani menerusi peruntukan RM223 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek dalam Bajet 2018. – Sarawakvoice

Jefferson Jamit Unyat