Isu Wisma Tok Guru memanas, Pas dakwa Husam sepatutnya sudah keluar…

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan berkata pihaknya tidak mempunyai kepentingan terhadap Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu yang dipertikaikan di antara Pas dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa.

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah mengaku Husam sudah memfailkan injunksi kes ini di Mahkamah Tinggi.

Memetik laporan Malaysiakini, Wan Abd Rahim berkata perbicaraan dan keputusan mahkamah masih ditunggu.

Rahim menegaskan Amanah Kelantan mempunyai pejabatnya sendiri yang menggunakan alamat rumah beliau semasa didaftarkan.

Bagaimanapun, Rahim berkata, di Wisma Tok Guru terdapat pejabat Husam sebagai ADUN Salor yang diwarisi sejak zaman bekas ADUN Salor Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim.

Sebelum ini, Pas memberi notis sebulan agar Amanah Kelantan mengosongkan bangunan tersebut yang berakhir 16 November ini.

Isu kepemilikan bangunan tersebut timbul apabila Pas mendakwa ahlinya membeli tanah milik isteri bekas Ahmad Roslin pada September lalu berharga RM700,000.

Pas Kelantan sebelum ini merancang mengadakan himpunan dan solat hajat kesyukuran selepas berjaya membeli semula tanah tersebut.

Sementara, Setiausaha Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, notis pengosongan Wisma Tok Guru kepada Husam sudah berakhir Ahad lepas (empat hari lebih awal sebelum 16 November?).

Bercakap pada sidang media di Kota Bharu, Che Abdullah berkata tiada perbincangan meminta notis tersebut dilanjutkan dan meminta pihak terbabit keluar secara bermaruah.

Che Abdulah berkata PAS sedia mengadakan program pertama majlis kesyukuran di Wisma Tok Guru dengan menyediakan makanan untuk 5,000 orang pada 16 November ini.

Sementara, dalam perkembangan lain, memetik FMT pada Isnin, Husam yang juga Naib Presiden Amanah mendakwa Pas melanggar undang-undang syariah ketika membeli tanah tersebut.

Husam berkata, selepas Datuk Rosli meninggal dunia, Pas membeli tanah itu ketika isteri arwah masih dalam edah.

“PAS bawa ADO (Penolong Pegawai Daerah) dari pejabat Kota Bharu pergi ke rumah untuk ‘sign’ borang 14A, walaupun melanggar perintah pekeliling PTG (Pejabat Tanah dan Galian) Bil 5 yang menyatakan pegawai pejabat tanah tidak boleh pergi ke rumah orang tukar nama orang (pemilik) atau tukar nama tanah,” tulis Husam di blognya.

“Tetapi Pas sanggup buat macam tu dan beli tanah itu,” ujar beliau.

Bagi Husam, waris tanah pusaka itu belum ditentukan kerana perbicaraan hanya diadakan di Mahkamah Syariah 9 Januari 2018.

Husam memberitahu, beliau memfailkan injunksi di mahkamah sivil Ahad lalu bagi menghalang pihak Pas Kelantan mengganggu pejabatnya di Wisma Tok Guru.

Husam mendakwa pihaknya yakin dapat mempertahankan wisma itu daripada dirampas Pas kerana mempunyai kebenaran bertulis daripada pemilik asal tanah berkenaan.