Demak Laut bersedia untuk laksanakan ekonomi digital — Dr Hadzland

KUCHING: Sebagai kawasan yang terletak di pinggir bandar Kuching, Adun Demak Laut, Dr Hadzland Hipni tidak mahu penduduk kawasannya tertinggal daripada terlibat dalam ekonomi digital.

Menerusi perbahasan Belanjawan 2018 di Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi tadi, beliau menegaskan rakyat Demak Laut perlu turut serta dalam perniagaan era digital itu.

“Penumpuan kerajaan ini akan memudahkan, mempercepat dan meluaskan bidang pemasaran dan penjualan produk yang dihasilkan usahawan-usahawan kawasan ini hingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, ia juga akan mengurangkan kos pemasaran, kerana perniagaan dilakukan secara atas talian,” tambahnya.

Gambar fail – Dr Hadzland Hipni

Dr. Hadzland turut merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah meningkatkan kemudahan infrastruktur internet selain mempertajam kemahiran rakyat dalam menggunakan internet menerusi Pusat Khidmat Internet di Kampung Bako Lot dan Taman Sepakat Jaya.

“Saya berharap rakyat Demak Laut akan memanfaatkan kemudahan ini untuk meningkat taraf sosioekonomi mereka pada masa akan datang,” jelasnya sambil mengalu-alukan inisiatif kerajaan membangunkan Digital Village di Kawasan Perindustrian Sama Jaya di Muara Tabuan dengan kos permulaan RM30 juta.

Dalam ucapannya juga, Dr Hadzland turut menyuarakan harapan penduduk kawasan itu untuk disambung dengan jajaran jalan utama.

“Antara kampung yang dahagakan konektiviti ini termasuklah Kampung Bako, Beradek, Semilang, Tiang Api, Muhibbah Pending dan Pinggan Jaya.

“Penduduk Beradek, Semilang dan Tiang Api juga dahagakan jambatan bagi membolehkan mereka dihubungi dengan laluan darat.

Mengulas tentang pembinaan Jambatan Bako yang menelan biaya RM42 juta, ia telah 85 peratus siap dan akan dapat digunakan menjelang suku pertama tahun hadapan.

“Dengan siapnya jambatan ini kelak, kita berharap ia akan dapat meningkatkan hasil tani dari kawasan Skim Kebun Bako seterusnya menukarkan kawasan ini sebagai agropark.

Untuk menjayakan usaha ini katanya lagi, satu pelan strategik pembangunan industri pertanian akan dirangka dan melibatkan pekebun dari kawasan Bako dan Tanjung Embang selain graduan yang berminat dengan agrotek.

“Memandangkan Kampung Bako telah memiliki pusat komposnya sendiri, dicadangkan juga kawasan ini diusahakan dengan pertanian organik selain diusahakan ternakan ayam organik freerange,” tambahnya lagi.