50 tahi judi dicekup sepanjang minggu lalu — Dev Kumar

KUCHING: Seramai 50 individu dicekup selepas terlibat dalam pelbagai aktiviti perjudian di seluruh negeri pada minggu lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar memberitahu, sepanjang 6 hingga 12 November lalu, pihaknya telah melaksanakan 36 serbuan termasuk 32 serbuan yang menghambat penjual 4D haram.

“Lima serbuan ini dilakukan oleh pasukan siasatan jenayah ibu pejabat kontijen, yang melibatkan daerah pentadbiran polis Kuching, Padawan dan Kanowit.

“Tujuh serbuan lain pula dilakukan oleh pasukan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Padawan (6), Miri (4), Sibu (3), Sri Aman (3), Bintulu (2) dan masing-masing satu oleh IPD Kota Samarahan, Bau, Sarikei, Lubok Antu, Limbang dan Matu Daro.

Daripada keseluruhan 32 serbuan jualan 4D haram ini, 36 individu telah dicekup dan wang tunai berjumlah RM8,049 telah dirampas.

Turut disita, telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

Dev memberitahu, empat serbuan turut dilakukan terhadap premis yang menjual khidmat tambah nilai judi siber di Kuching, Padawan, Bintulu and Matu Daro.

“Serbuan berakhir dengan penangkapan 14 individu dan rampasan 14 tablet serta telefon bimbit, selain wang tunai berjumlah RM2,841.

“Daripada 50 suspek yang ditahan, 16 merupakan wanita dan kesemua suspek berusia di antara 15 hingga 49 tahun, termasuk lima warga asing.

Kesemua mereka kini disiasat di bawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya. – Sarawakvoice