21 ribu personel, aset termasuk helikopter diarah bersedia hadapi bencana banjir di seluruh negeri — Uggah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri meletakkan 21,188 personel daripada tujuh agensi dalam keadaan berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi tiupan Monsun Timur Laut yang bermula semalam hingga Mac.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sebagai persediaan kerana berdasarkan ramalan, hujan luar biasa selama tiga hari tanpa henti boleh menyebabkan kawasan berkedudukan rendah dan cenderung banjir akan ditenggelami air.

“Sekiranya hujan lebat turun serentak dengan fenomena air pasang, risiko banjir akan menjadi lebih buruk,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Jumlah personel ini kata Uggah lebih ramai berbanding 17,097 orang pada tahun lalu.

“Kita turut meletakkan kesemua aset iaitu lima helikopter, 197 lori, 325 kenderaan pacuan empat roda, 280 bot dan 50 ambulans milik pelbagai jabatan dan agensi dalam keadaan bersedia.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat persediaan untuk membuka ¬†610 pusat pemindahan manakala 165 pembekal lojistik telah dilantik bagi memberikan respons terbaik ¬†apabila diperlukan.

“Sebanyak 12 pangkalan hadapan telah disediakan di tempat-tempat strategik selain tiga depo utama di Kuching, Samarahan dan Miri.

Katanya lagi, semua Residen turut diarahkan mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir di kawasan masing-masing dan cuti personel di bawah agensi terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana dibekukan serta-merta. – Sarawakvoice