Pada 7 Oktober 2017, Jabatan Perangkaan Malaysia membuat pelancaran Statistik Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia bagi tahun 2016. Pendapatan purata isi rumah dikatakan meningkat  sebanyak 6.2 peratus, daripada RM6,141 pada tahun 2015 kepada RM6,958 pada tahun 2017.

Namun begitu, angka ini dipertikaikan  beberapa  pakar ekonomi tempatan yang mengatakan bahawa peratusan kenaikan tersebut sebenarnya tidak berlaku pada peringkat masyarakat sebenar.

Ini adalah kerana kos sara hidup meningkat dengan begitu ketara semenjak awal tahun 2015 berikutan pelaksanaan GST bagi menggantikan SST yang dikenakan sebanyak 6 peratus. Selain itu, subsidi minyak turut dihapuskan dan menjadikan harga minyak ditentukan oleh kuasa pasaran dan sangat membebankan rakyat yang menggunakan kenderaan persendirian untuk ke tempat bekerja.

Kumpulan berpendapatan rendah seperti B40 dan ke bawah menerima kesan langsung daripada polisi pemotongan subsidi ini. Untuk mengurangkan tekanan kepada golongan tersebut, BR1M telah ditambah jumlahnya. Pada tahun 2015 misalnya, seramai 7.4 juta orang mendapat manfaat daripada RM5.3 bilion peruntukan BR1M pada tahun itu.

Selain perlaksanaan GST dan penghapusan subsidi minyak, peningkatan kos sara hidup juga disumbangkan oleh kejatuhan nilai ringgit dan pergerakkan gaji yang statik.

Semasa sesi pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  pada 27 Oktober, langkah mengurangkan kos sara hidup yang menjadi masalah utama khususnya kepada  sebahagian besar golongan berpendapatan rendah dan B40 dilihat tidaklah begitu memberangsangkan.

Dalam satu seminar ekonomi di Kuala Lumpur pada 9 November lalu,  Manokaran Mottain,  Ketua Unit Ekonomi daripada Alliance Bank mencadangkan agar subsidi minyak diberikan kepada kumpulan B40 dan penerima BR1M sebagai langkah untuk menurunkan kos sara hidup bagi golongan tersebut.

Foto Bernama

Dengan menggunakan data penerima BR1M, Manokran mencadangkan agar diskaun sebanyak 20 peratus daripada harga minyak semasa diberikan kepada golongan B40. Cadangan ini sukar dilaksanakan sebenarnya. Sebabnya mudah, bukan semua penerima BR1M  menggunakan kenderaan persendirian.

Bagaimana kerajaan dapat memastikan penerima BR1M tidak menyalahgunakan identifikasi mereka dan subsidi tersebut sampai kepada golongan sasar yang sebenarnya.  Walau bagaimanapun, bukan semua cadangan tersebut perlu ditolak.

Beberapa orang pakar ekonomi yang saya tanyakan pendapat mereka berhubung dengan isu ini mengakui bahawa subsidi minyak mempunyai kesan pengganda yang tinggi.

Dalam usaha untuk menurunkan kos sara hidup, pemberian subsidi minyak kepada semua golongan tanpa mengira sama ada mereka ialah golongan B40, M40 atau T20 perlu dilaksanakan semula, khususnya bagi RON95 dan diesel.

Persoalanya adalah daripada mana wang untuk membiayai subsidi tersebut hendak diperoleh?

Kerajaan mengutip sebanyak RM42 bilion setahun menerusi GST.  Jika kerajaan membelanjakan sebanyak RM30 bilion daripada kutipan GST tersebut untuk subsidi minyak, itu ialah jumlah yang difikirkan munasabah dan wajar.

Sekali gus menjawab persoalan ke mana wang hasil kutipan GST dibelanjakan? — Sarawakvoice