PENGERUSI Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan Bajet Sarawak 2018 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai baik, apabila memperuntukkan 70 peratus belanjawan untuk tujuan pembangunan.

Chong mungkin berniat membandingkan dan menyindir Bajet Pusat 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib yang dikatakan hanya memperuntukkan 16 peratus untuk pembangunan.

Chong semasa membahaskan Bajet Sarawak pada Sidang Dewan Undang Negeri (DUN) membuat kesimpulan bahawa “kamu boleh bermegah dengan bajet negeri, tetapi kemegahan itu jadi tamparan kepada bajet persekutuan.”

Chong yang juga ADUN Kota Sentosa menuding bahawa Bajet Pusat dikatakan “menyeksa” dengan menyaksikan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Gambar fail

Beliau turut mengaitkan kenaikan kos sara hidup rakyat dengan kewujudan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), penyusutan nilai mata wang ringgit dan inflasi serta diburukkan dengan dengan kenaikan harga minyak.

Dengan menunjukkan penurunan Pendapatan Kasar Negara (GNI) rakyat, Chong membuat kesimpulan, Pendapatan Dibelanjakan Rakyat menurun.

Tidak kiralah betapa sinisnya Chong dengan Bajet Pusat yang dibentang Najib kerana sesuai dengan peranannya sebagai pembangkang, sentiasa ada sudut terbuka menimbulkan sebarang bangkangan.

Dapat juga dikatakan sebaik mana pun idea kerajaan, sentiasa ada ruang terbuka untuk dikritik. Ini lumrah.

Ini pun ertinya demokrasi dan terhormatnya sidang Dewan dalam politik Malaysia.

Manisnya, dari sudut apa pun Chong melihat, beliau terpaksa “terkedu” mengaku bahawa Bajet Sarawak yang dibentangkan oleh Abang Johari dari BN merupakan bajet terbaik khususnya dalam mempedulikan kepentingan rakyat serta pembangunan meliputi kawasan luar bandar di negeri ini.

Pada Rabu lepas, Abang Johari membentangkan Bajet Sarawak 2018 bernilai RM8.226 bilion.

Daripada jumlah tersebut RM5.745 bilion diperuntukkan untuk tujuan pembangunan dengan 53 peratus iaitu RM3.062 bilion bagi pembangunan luar bandar.

Kerajaan negeri menggunakan 30 peratus iaitu RM2.481 bilion daripada belanjawan tersebut untuk pengurusan.

Chong jujur mengaku kadar belanjawan dibentangkan oleh Abang Johari baik kerana hanya memperuntukkan 30 peratus untuk belanjawan biasa dan bahagian yang besar lagi untuk pembangunan.

Dengan turut membebelkan beberapa kritikan terhadap Bajet Pusat walaupun “kelihatan” cuba mengaitkannya dengan Bajet Sarawak semasa penghujahan di DUN — yang kononnya BN negeri atau BN Pusat saling membayangi — Chong dilihat cuba “menyengat” Najib di Pusat melalui DUN.

Ini termasuklah kritikan tajamnya ke atas isu kenaikan harga bahan bakar, peruntukan RM1 bilion untuk pendidikan serta suara “berani” ahli politik Sarawak di Parlimen dan sebagainya.

Apapun yang dibangkang oleh Chong menurut kaca mata politiknya, semoga semuanya menjurus kepada keikhlasannya, prihatin kepada masalah rakyat dan kepentingan semua pihak. – Sarawakvoice